Seorang doktor hospital kerajaan merayu syarikat-syarikat dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) supaya berhenti hantar makanan ke hospital kerana mereka mempunyai makanan yang cukup.

Doktor yang hanya dikenali dengan nama Azman di Twitter itu turut menyarankan supaya golongan susah yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang yang perlu diutamakan.

https://twitter.com/azmanrocks/status/1242705793213816833

Menurut beliau lagi:

“Sumbangan makanan yang kami terima sangatlah membantu. Ia membantu barisan depan yang bekerja berterusan ketika satu syif (kadang-kadang sampai dua syif). Bekerja di bahagian kecemasan, memang tak ada waktu tak ada pesakit.

“Sila fokus kepada golongan yang lebih memerlukan. Kami boleh urus [makanan] kami sendiri.”

Beliau turut memberitahu makanan yang disumbang ke hospital tidak sahaja diberikan kepada para doktor dan jururawat sahaja, ia turut diberikan kepada pekerja kebersihan.

Seorang netizen yang suaminya bekerja di balai polis juga bersetuju dengan saranan doktor tersebut.

ShashaFifiZaza berkata sumbangan makanan yang dihantar ke IPD terlalu banyak sehinggakan makanan terbiar dan membazir.

Beliau menjelaskan barisan depan wabak COVID-19 seperti polis bukanlah tidak menghargai sumbangan makanan. “Cuma makanan terlampau banyak dan mereka tak ada masa nak makan sangat.”

Adelia Iman yang mempunyai adik yang bekerja sebagai polis juga bersetuju.

“Adik saya di balai pun cakap benda sama. Pasukan dia jaga sekatan jalan tujuh orang. Hari-hari orang hantar makanan macam kenduri. Lebih baik beri pada mereka yang lebih memerlukan.

“Kalau nak hantar juga, [hantar] dalam kuantiti yang memadai atau mencukupi sahaja. Jangan berlebih.”

Utamakan golongan yang bergantung kepada pendapatan harian

Susulan daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia, banyak pekerja-pekerja yang bergantung kepada pendapatan harian terjejas punca pendapatan mereka.

Mereka ini adalah golongan yang perlu keluar bekerja setiap hari untuk mendapat duit. Contohnya seperti penjual makanan di gerai, pekerja kontrak, ibu tunggal yang berniaga, nelayan, petani dan banyak lagi.

Salah satu contohnya adalah wanita yang ditemuramah oleh Astro Awani ini. Ketika ditemuramah, beliau memberitahu PKP membuatkan pendapatannya susut sehingga duitnya tinggal RM50. Sedangkan tempoh PKP berakhir lama lagi iaitu pada 14 April.

https://twitter.com/shaufiksTIKATED/status/1242075293017235456

Ketika ini banyak kerajaan negeri sedang giat membantu mereka menerusi pelbagai pakej rangsangan dan program agihan zakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga tidak ketinggalan membantu golongan sasaran ini.

Semalam beliau mengumumkan sebanyak RM29.01 juta telah dibelanjakan sepanjang misi #MUSAADAHCOVID-19 yang bermula sejak 19 Mac.

Malah semalam Dr Zulkifli juga pantas membantu seorag netizen yang kini menjadi gelandangan di kawasan berhampiran LRT Hang Tuah.

Pada 23 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif untuk golongan yang kewangannya terjejas akibat wabak COVID-19.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai impak wabak COVID-19 di Malaysia: