Senarai prosedur operasi standard (SOP) yang rencam sebelum ini dilihat banyak mengundang kekeliruan dan polemik dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini diburukkan lagi dengan set SOP yang berbeza-beza mengikut fasa kedudukan negeri. Terdapat pula SOP berkaitan sektor khusus sedangkan ia sepatutnya lebih umum dan terpakai merentasi kesemua sektor.
SOP baharu itu akan diselaraskan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kesihatan. Ketika ini, terdapat 181 SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Terdapat 10 SOP baharu berbanding 181
Berbanding 181 prosedur operasi standard (SOP) di dalam Pelan Pemulihan Negara, SOP baharu ini lebih mudah dengan hanya 10 sahaja. Ia lebih mencerminkan kefahaman rakyat dalam mendepani pandemik sebelum ini lantas memasuki fasa endemik. Pengurangan SOP sebanyak 94.5 peratus itu adalah bagi memudahkan pemahaman dalam kalangan masyarakat.
SOP baharu tersebut dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. Paling mustahak, ia bakal mengambil kira faktor yang selari dengan peralihan negara ke fasa endemik, menjelang penghujung Oktober ini.
Cadangan pakar kesihatan awam tentang SOP baharu
Menurut Dr Hanafiah Bashirun, sepatutnya hanya dua kerangka SOP yang perlu diwujudkan apabila Malaysia beralih ke fasa endemik. Sebagai seorang pakar kesihatan awam, beliau mencadangkan dua kerangka SOP itu diperincikan terus di dalam aplikasi MySejahtera. Ia tidak perlu dipaparkan dalam laman web agensi-agensi yang berbeza.
SOP pertama bersifat umum dimana semua sektor dibuka seperti biasa. Apa yang penting adalah mengekalkan pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan penggunaan cecair pembasmi kuman.
SOP kedua adalah untuk kawasan khusus yang merekodkan penularan jangkitan. Ia lebih bersifat lokaliti khusus seperti taman atau blok kediaman. Ini penting supaya setiap langkah kesihatan awam yang diterapkan kemudian lebih berkesan dan bersasar.
SOP lebih umum dan merentasi sektor
Jawatankuasa membabitkan empat kementerian ditugaskan memperincikan langkah penyesuaian dan kelonggaran SOP menuju fasa endemik. Keempat-empat kementerian terbabit sepakat bagi merintis usaha ke arah memudahkan SOP sebagai persiapan beralih ke fasa berkenaan.
Setiap kementerian kemudiannya akan mengeluarkan perincian yang seragam di platform masing-masing. SOP baharu ini bersifat umum dan terpakai merentasi semua sektor.
Ini bagi memastikan masyarakat faham apa yang perlu mereka patuhi menuju fasa endemik kelak.