Selepas pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya dilaksanakan pada tahun 2017, sistem lebuh raya di Malaysia kini bakal memasuki fasa baru. Kerjasama di antara Green Packet Bhd (Green Packet) dan FETC International Co (FETCi) akan melaksanakan ujian konsep bagi sistem tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
Ujian konsep MLFF ini adalah julung kalinya di lebuh raya Malaysia. Menurut Green Packet dan FETCi, ujian pelaksanaan sistem MLFF akan dipasang di KM5.5 Lebuh Raya Besraya (Arah Utara). Ujian konsep MLFF tersebut bakal digunakan selama tiga bulan bermula awal tahun 2022 bagi kerja-kerja pengumpulan data.
Pembuktian konsep (POC) untuk sistem MLFF tersebut adalah inisiatif penting bagi memastikan lebuh raya bebas kesesakan menerusi infrastruktur trafik yang lebih baik. Sistem tol MLFF ini selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam menambahbaik infrastruktur pengangkutan. Apa yang pasti, ia bakal memastikan aliran trafik yang lebih lancar serta mengurangkan kesesakan.
Sejarah Touch ‘n Go bagi pembayaran tol di Malaysia
Projek digitalisasi pembayaran tol di Malaysia banyak bertitik tolak daripada kesesakan luar biasa pada waktu puncak. Lembah Klang dihuni oleh hampir 7 juta penduduk dan memerlukan kepada aliran trafik lebuh raya untuk mengurangkan kesesakan. Namun begitu, ia masih menyusahkan sekiranya tol dibayar menggunakan kaedah tunai.
Touch ‘n Go ialah sistem pembayaran elektronik berasakan kad pintar tanpa sentuh yang pertama di Malaysia. Kemudahan Touch ‘n Go di lebuh raya yang pertama dilancarkan pada 18 Mac 1997 di Plaza Tol Jalan Pahang dan Plaza Tol Jalan Cheras. Kemudian, pada 15 April 1997 kemudahan yang sama disediakan di Plaza Tol Salak dan Plaza Tol Bandar Tun Razak.
Touch ‘n Go mula mendapat permintaan yang menggalakkan apabila pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan, PLUS Expressways Berhad menggunakannya. Pada 15 November 1998, PLUS memperluaskan kemudahan tersebut di kesemua 65 plaza tol sepanjang 848 kilometer lebuh raya kendaliannya.
Digitalisasi pembayaran tol PLUS Expressways
Sekitar November 2014, PLUS mula melaksanakan kutipan tol secara elektronik di Plaza Tol Plus di Batu Tiga dan Sungai Rasau sepenuhnya. Ini bermaksud, penggunaan wang tunai adalah tidak dibenarkan untuk pembayaran tol. Pengguna lebuh raya perlu menggunakan sama ada kad Plusmiles, Touch n Go atau SmartTag untuk sebarang transaksi bayaran tol.
Kemudian, bermula April 2017, PLUS melaksanakan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di kesemua 94 plaza tol di bawah kendaliannya.