Selepas empat tahun ditutup, Twitter membuka kembali proses verifikasi akaun pengguna untuk mendapat lencana verified di akaun masing-masing. Namun begitu, ia tidak bertahan lama apabila sembilan hari kemudian, proses tersebut kembali ditutup buat sementara waktu.
Menurut akaun rasmi Twitter Verified, proses verifikasi ditutup buat sementara waktu untuk membolehkan mereka menyiasat latar belakang permohonan sedia ada.
We’re rolling in verification requests. So we gotta hit pause on accepting any more for now while we review the ones that have been submitted.
We’ll reopen requests soon! (we pinky swear)
— Verified (@verified) May 28, 2021
Tidak dimaklumkan bila permohonan verifikasi ini akan dibuka semula. Terdapat beberapa kategori yang dibenarkan untuk memohon verifikasi akaun iaitu kerajaan, syarikat, jenama ataupun organisasi, organisasi berita dan wartawan, selebriti, ahli sukan dan aktivis, penganjur acara dan juga individu berpengaruh.
Proses ini sepatutnya hanya mengambil masa selama tujuh hari. Sepanjang tujuh hari tersebut, pengesahan identiti akan diminta oleh pihak Twitter seperti kad pengenalan negara atau emel rasmi dari majikan bagi membuktikan dan mengesahkan identiti pemohon.