Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK oleh GLC dan GLIC. Disebabkan oleh penularan wabak Covid-19, ramai pelajar terkesan untuk mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran PdPR secara fizikal di sekolah maka mereka perlu mengikutinya secara dalam talian.

Tabung CERDIK merupakan projek yang diuruskan dan diselia oleh Yayasan Hasanah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Melalui inisiatif ini, Tabung CERDIK tersebut akan menyediakan bantuan komputer riba kepada seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah sebagai projek rintis.

Langkah itu dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu pelajar mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar bilik darjah.

Kelayakan penerima dan cara memohon laptop

Kredit gambar: https://www.kerjakosong.co/author/sakinah/page/7/

Tiada sebarang permohonan boleh dibuat untuk menerima laptop daripada Tabung CERDIK. Ini kerana, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri yang akan mengenal pasti murid dari golongan B40 yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan peranti yang sesuai. Agihan akan dibuat berdasarkan pemilihan KPM ini.

Berdasarkan tinjauan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), sebanyak 48 peratus pelajar di negara ini langsung tidak mempunyai akses komputer di rumah untuk tujuan pembelajaran. Manakala, 23 peratus pelajar pula tidak mempunyai akses kepada internet bagi menghadiri pembelajaran secara dalam talian.

Statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menujukkan bilangan murid di peringkat prasekolah setakat 31 Julai 2020 adalah seramai 208,131 orang. Seramai 2,741,837 orang murid berada di peringkat pendidikan rendah manakala seramai 2,037,433 lagi berada di peringkat pendidikan menengah.

Secara keseluruhan, terdapat hampir 4,987,401 orang murid berada di dalam sistem pendidikan sekolah di negara kita. Sekiranya kita menggunakan data OECD, seramai hampir 2,393,952 daripada murid ini tidak mempunyai akses komputer.

Maka, jumlah 150,000 laptop yang diedarkan di bawah Tabung CERDIK sebenarnya hanya meliputi 6.2 peratus daripada keseluruhan murid ini.

Status pengedaran laptop Tabung CERDIK

Kredit gambar: https://pendidikan4all.net/50000-peranti-cerdik-pada-pada-akhir-mei/

Setakat hari ini, sebanyak 85,668 buah peranti yang terdiri daripada laptop dan tablet telahpun diagihkan kepada murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah. Jumlah ini merangkumi murid daripada 657 buah sekolah di dalam 138 buah Pejabat Pelajaran Daerah.

Salah sebuah GLC ini adalah Maybank yang mengumumkan bantuan laptop bernilai RM6.5 juta di bawah program Tabung CERDIK ini. Sehingga kini seramai 3,200 orang murid dari golongan pendapatan rendah dari 30 sekolah seluruh negara telah menerima sumbangan komputer riba Dell Latitude 3310. Bantuan ini disertakan juga bersama dongle dengan langganan internet selama 12 bulan.

Sekiranya dilihat kepada sasaran 150,000 buah peranti, jumlah ini baru mencapai 57 peratus daripada sasaran tersebut.

Kemiskinan akibat pandemik dan jurang digital

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/667045/kementerian-pembangunan-luar-bandar-mahu-selesaikan-semua-projek-basmi

Lebih ramai rakyat Malaysia jatuh ke dalam kategori miskin dan miskin tegar akibat pandemik Covid-19 tahun lalu, de­ngan bilangan isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 bertambah sebanyak 12.5 peratus. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan kajian ja­batan itu, bilangan isi rumah miskin pada 2020 meningkat kepada 638,800 daripada 405,400 orang tahun sebelumnya.

Kajian dalam Families on The Edge oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bagi keadaan isi rumah golongan rentan menunjukkan kadar kemiskinan meningkat daripada 42 peratus pada Disember 2020 kepada 45 peratus pada Mei 2021. Malahan, ada kajian turut melaporkan sekitar 70 peratus individu sudah tidak ada simpanan sejak berlakunya krisis disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kajian UNICEF Malaysia terhadap 500 keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) juga mendapati sejak pandemik, 57 peratus daripada mereka mengalami kemerosotan kewangan. Dengan status kemiskinan yang semakin meningkat, jurang akses digital juga semakin melebar tanpa perhatian dan tindakan serius daripada kerajaan bagi menangani masalah ini.