Laporan pendapatan Sony menunjukkan bahawa konsol permainan PlayStation 5 telah terjual sebanyak 7.8 juta unit, biarpun menghadapi masalah kekurangan pengeluaran. Seperti yang kita semua tahu, kekurangan pengeluaran tersebut adalah disebabkan pengeluaran cip komputer dunia yang tidak dapat menampung permintaan pasca pandemik Covid-19.
Menurut Sony, penjualan ini amat memberangsangkan malah melepasi jumlah jualan PlayStation 4 sebanyak 200,000 unit dalam jangka masa yang sama. Ini menunjukkan bahawa PlayStation 5 masih mempunyai permintaan yang tinggi biarpun pembeli menghadapi kesukaran untuk mendapatkan stok konsol tersebut di seluruh dunia.
Timbalan Presiden Eksekutif Sony, Totoki Hiroki memberitahu syarikatnya akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut. Sony menjangkakan sebanyak 14.8 juta unit PlayStation 5 akan dapat dijual selepas dua tahun pelancarannya.
Momentum permintaan ini turut sama dirasai dengan peningkatan jualan perisian permainan. Sebanyak 338.9 juta permainan dibeli sepanjang tahun lalu, dengan 65 peratus atau 220 juta daripadanya adalah pembelian dalam talian. Ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun 2019. Begitu juga dengan pelanggan Sony PlayStation Plus turut meningkat sebanyak 6 juta pada tahun lalu.
Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa Sony mampu mencapai sasaran jualannya dengan mudah.