Sebuah keluarga di wilayah Virginia, Amerika Syarikat menerima pujian daripada pihak berkuasa di sana atas sifat jujur mereka memulangkan semula dua buah beg berisi wang tunai.

Emily Schantz terlanggar beg tersebut yang disangka beg sampah ketika sedang memandu bersama keluarganya. Mereka hanya menyedari kedua-dua beg itu berisi wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.35 juta) apabila tiba di rumah.

Dua buah beg berisi wang tunai berjumlah AS$1 juta yang ditemui oleh keluarga Schantz.

Tanpa berfikir panjang, keluarga Schantz bertindak menyerahkan beg tersebut ke pejabat sheriff di Caroline County dan tidak menganggap penemuan dua buah beg berisi wang tunai itu sebagai durian runtuh buat mereka sekeluarga.

“Untuk seseorang yang sangat jujur dan sanggup memulangkan wang tunai hampir 1 juta dollar, ini memang sangat luar biasa. Kami amat berbangga kerana mereka membuktikan bahawa warga negara ini sememangnya jujur,” kata ketua jabatan polis, Mejar Scott Moser.

Emily Schantz ketika ditemui pihak media berkata mereka cuma mahu melakukan perkara yang betul kerana wang tunai yang berada dalam beg itu bukanlah hak mereka.

Pihak berkuasa tidak dapat memastikan bagaimana wang sebanyak itu boleh berada di atas jalan raya. Namun mereka percaya wang tunai itu sudahpun dihantar ke pihak bank.

Baca juga artikel lain yang mungkin menarik perhatian anda:

Sumber: