Penjaga gol hoki berpengalaman negara, S. Kumar akhirnya mengucapkan selamat tinggal buat pentas antarabangsa selepas hampir 20 tahun beliau ‘menghambakan’ diri bersama skuad negara sejak tahun 1999.
Perkara tersebut disahkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal dalam sidang media khas yang turut disertai Kumar pada petang tadi di Bilik Mesyuarat KHM.
Menurut sumber berita dikeluarkan KHM, anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu telah mengumpul 321 caps bersama Malaysia dan tugasan terakhirnya bersama The Speedy Tigers adalah ketika kecundang di tangan Great Britain pada aksi Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Lee Valley Hockey and Tennis Centre, London.
Di samping usianya yang bakal menjengah 41 tahun pada November nanti, Kumar turut melihat kekecewaannya gagal membawa skuad negara beraksi di Sukan Olimpik sebagai antara penyebab beliau mengambil keputusan tersebut.
“Selepas Kelayakan Sukan Olimpik London, saya telah lama memikirkan untuk bersara kerana telah terlalu lama saya bersama pasukan negara dan sasaran saya untuk layak ke Sukan Olimpik dengan percubaan demi percubaan pada lima edisi terdahulu masih tidak berjaya, kini saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya bersara daripada pentas antarabangsa.”
“Sebagai pemain ia merupakan satu kekecewaan apabila tidak membuat penampilan di Sukan Olimpik tetapi saya percaya jika saya tidak ke Sukan Olimpik sebagai pemain mungkin saya boleh ke Sukan Olimpik sebagai jurulatih atau jurulatih penjaga gol bersama pasukan bimbingan saya.”
“Saya juga memikirkan untuk melakukan perkara lain seperti selepas hoki. Saya perlu ke satu tahap yang lain seperti kejurulatihan selain memikirkan tentang masa depan hoki di mana kita memerlukan lebih ramai penjaga gol,” ujar S. Kumar bercakap dalam sidang media tersebut.
Dalam pada itu, Kumar yang beraksi bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 turut merasakan ini adalah masa sesuai buat barisan penjaga gol lain untuk mengemudi tanggungjawab negara.
“Dengan barisan penjaga gol berbakat yang dimiliki negara, saya merasakan ini adalah masanya untuk membentuk mereka agar bersedia dalam tempoh empat atau lapan tahun akan datang. Jika ianya dimulakan dari sekarang, untuk jangka masa panjang ia sesuatu yang baik dan keputusan yang saya ambil ini adalah pada masa yang tepat.”
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Subahan atas peluang yang diberikan dan ini adalah masa terbaik untuk saya berkongsi ilmu serta pengalaman yang telah saya kutip sepanjang 20 tahun bersama pasukan Malaysia kerana saya tidak mahu menyimpan sendiri semua ilmu dan pengalaman itu.”
Kepakaran yang dimiliki S. Kumar nyata tidak disia-siakan KHM selepas badan induk hoki tanah air itu pantas melantik beliau sebagai jurulatih penjaga gol kebangsaan dan turut diberikan tanggungjawab membantu skuad hoki remaja negara.
Kredit foto: Malaysian Hockey Confederation