Anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah digalakkan memohon Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT).

Dato’ Menteri Besar berkata program yang lebih dikenali dengan Hadiah Masuk Universiti itu menawarkan insentif RM1,000 kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah, yang melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan yang mengikuti pengajian peringkat sijil kemahiran tahap 4, diploma atau ijazah sarjana muda.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan 14 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Selangor 2020 untuk pendidikan kerana pendidikan sangat penting bagi Selangor bagi membina masyarakat maju selaras dengan agenda Negeri Pintar Perdana ASEAN 2025,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Beliau berkata permohonan boleh dibuat di laman sesawang hpipt.selangor.gov.my sebelum 11 September 2020 menerusi pautan DI SINI.

HPIPT dilaksanakan sejak 2008 bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah sebelum ini untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta.

Bagaimanapun, ia ditambah baik dengan menaikkan pendapatan isi rumah.

Syarat kelayakan

1. Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia sahaja. 

2. Pemohon, ibu dan bapa mestilah terdiri daripada rakyat DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan yang memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut:

     i) Pemohon lahir dan menetap di Negeri Selangor; atau

     ii) Ibu atau bapa pemohon lahir dan menetap di Negeri Selangor; atau

     iii) Pemohon telah bermastautin dan bersekolah di Negeri Selangor tidak kurang dari 11 tahun dan menetap di Negeri Selangor dan ibu atau bapa telah bermastautin dan menetap di Negeri Selangor selama 11 tahun.

3. Pemohon ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian sepenuh masa di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil Kemahiran Tahap 4 sahaja*.

*Matrikulasi / Kolej Vokasional / IKBN / IKTBN / Kursus Persediaan / Tahun Asas / A-Level / ACCA / LCCI / Ijazah Lanjutan / Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI / KPLI)/ Pengajian Jarak Jauh (PJJ)/ Pengajian Luar Kampus (PLK) tidak layak memohon.

4. Pemohon telah mendaftar diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian.

5. Pemohon adalah pelajar tahun pertama sahaja.

6. Pemohon mestilah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

7. Pendapatan isi rumah Ibu, Bapa atau penjaga pemohon berjumlah RM5,000 dan ke bawah sahaja.

8. Permohonan yang tidak lengkap dikategorikan sebagai PERMOHONAN GAGAL.

Prosedur permohonan HPIPT Selangor

1. Permohonan Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) Kerajaan Negeri Selangor boleh dibuat secara atas talian (Online) dengan melayari laman web rasmi Sistem Permohonan HPIPT di sini.

2. Pemohon dikehendaki membaca dan mematuhi syarat – syarat kelayakan permohonan sebelum membuat sebarang permohonan.

3. Pemohon boleh membaca Manual Panduan Permohonan (Online) menerusi laman web tersebut sebagai rujukan.

4. Pemohon boleh membuat Semakan Status Permohonan pada laman web tersebut dengan memasukkan Nombor Kad Pengenalan Pemohon.

5. Permohonan yang telah lengkap beserta lampiran dokumen hendaklah dikemukakan kepada Urus Setia melalui serahan tangan atau pos di alamat seperti berikut:

Urus Setia Hadiah Pengajian IPT
Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Tingkat 3, Bangunan S.S.A.A.S.,
40503 Shah Alam.