Banjir mungkin sudah surut di kebanyakan tempat dan mangsa kini berdepan dengan impak bencana tidak diduga tersebut. Ada yang kehilangan anggota keluarga, tempat tinggal selain kerosakan harta benda.
Pada masa yang sama, mangsa banjir juga berhadapan dengan risiko pelbagai penyakit bawaan air. Lebih-lebih lagi apabila loji rawatan air yang selalunya melebihi kapasiti terpaksa ditutup buat sementara waktu akibat banjir. Maka, mangsa banjir terpaksa menggunakan sumber air lain yang sudah tercemar sewaktu banjir.
Air banjir yang bercampur dengan sampah-sarap, bakteria dan najis menyebabkan ia tercemar dengan pelbagai jenis bakteria berbahaya. Kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit kronik antara golongan paling berisiko untuk dijangkiti penyakit berjangkit akibat banjir.
Antara penyakit bawaan air yang biasa didengari adalah seperti penyakit Leptospirosis atau kencing tikus. Selain itu juga, demam Kepialu (Typhoid), Taun dan keracunan makanan juga mampu menyerang mangsa banjir melalui penggunaan air yang tercemar.
Penyakit Leptospirosis atau kencing tikus
Leptospirosis adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Leptospira Interrogans yang menghasilkan pelbagai gejala. Bakteria ini akan berada di dalam buah pinggang haiwan terjangkit dan akan keluar bersama air kencing haiwan tersebut.
Bakteria ini pula boleh bertahan di dalam air tawar dan tanah selama berbulan-bulan. Oleh itu, penyakit ini sangat kerap berlaku di negara dengan iklim sederhana dan tropika terutamanya pada musim banjir.
Gejala penyakit Leptospirosis ini boleh berlaku dalam dua fasa. Fasa pertama bermula dengan tanda-tanda seperti demam dengan suhu tinggi, sakit kepala, muntah, sakit otot, sakit sendi dan cirit-birit.
Sesetengah pesakit mungkin mengalami kegagalan buah pinggang atau hati, kegagalan pernafasan dan juga radang otak. Tanpa rawatan awal, penyakit ini juga mampu membawa kepada kematian.
Penyakit demam Kepialu dan Taun
Penyakit bawaan air kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir adalah seperti demam Kepialu dan Taun. Ini disebabkan oleh virus dan bakteria yang biasa ditemukan dalam air banjir dan berpindah ke dalam tubuh manusia.
Kebiasaannya, ia masuk menerusi makanan dan minuman yang dicemari air banjir atau luka terbuka pada badan mangsa banjir. Antara gejala demam kepialu ialah demam panas, tiada selera makan, sakit kepala, sakit seluruh badan dan lesu, selain muntah dan sembelit serta cirit-birit
Penyakit lain yang dikaitkan dengan banjir ialah kolera atau taun yang berpunca daripada bakteria vibrio cholarae. Antara gejalanya ialah cirit berair yang teruk, kehilangan cecair dalam badan pada kadar yang cepat dan seterusnya menyebabkan dehidrasi.
Jika tidak dirawat dengan baik, jangkitan kolera boleh menjadi bertambah teruk.
Langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil
Akibat kerisauan dan kesusahan pasca banjir, ramai mangsa banjir terlepas pandang tentang isu-isu kebersihan air. Namun hakikatnya, banyak perkara berkaitan kesihatan perlu dititikberatkan pasca banjir.
Antara langkah keselamatan yang boleh diambil ialah sentiasa minum dan memasak menggunakan air yang bersih. Gunakan air minuman dari botol seperti air mineral sekiranya masih tidak mempunyai bekalan air yang bersih. Jangan sesekali minum air yang tidak dirawat.
Selain itu juga, mangsa banjir digalakkan untuk mengamalkan kebersihan tangan yang baik. Basuh tangan dengan teliti menggunakan sabun selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan.
Pastikan semua makanan telah dibasuh, dibersihkan dan dimasak sepenuhnya untuk membunuh bakteria dan kuman merbahaya yang mungkin ada di dalamnya. Jangan biarkan kanak-kanak bermain air banjir kerana risiko-risiko bakteria dan kuman ada di dalam air tersebut.
Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala-gejala yang disebutkan di atas.