Pada tahun ini, Pirelli bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke 150. Sepanjang tahun lalu, jualan jenama ini agak statik, menyumbang kepada kedudukan ke 6 pada tahun 2020 dari jenama lain.

Namun begitu, kadar jualan yang statik ini sememangnya merupakan strategi perniagaan Pirelli. Fokus mereka hanya kepada penggunaan kereta mewah, Formula 1 dan jentera motorsikal berkuasa tinggi. Jenama ini juga sudah tidak asing lagi dengan tajaan bagi perlumbaan Formula 1.

Sebelum tahun 2011, pelbagai jenama dibenarkan untuk menaja dan membekalkan tayar kepada pasukan masing-masing. Jenama seperti Bridgestone, Michelin dan Goodyear tidak asing lagi kepada peminat sukan permotoran tersebut. Istilah perang tayar merupakan senjata rahsia bagi pasukan-pasukan yang bertanding.

Namun begitu, segalanya berubah apabila Bridgestone mengumumkan pengundurannya sebagai penaja dan pembekal tayar bagi Formula 1. Sejak tahun 2011, hanya satu jenama tayar digunakan oleh kesemua 10 pasukan yang bertanding.

Tiga jenama tayar iaitu Michelin, Cooper Avon dan Pirelli menunjukkan minat. Akhirnya FIA memilih Pirelli dan mereka kekal menjadi pembekal Formula 1 sehingga hari ini.

Dominasi Michael Schumacher, Bridgestone dan Ferrari

Kredit gambar: Petrolicious

Sebelum pemilihan Pirelli sebagai jenama pembekal tayar tunggal, pasukan Formula 1 bebas menggunakan tayar pilihan masing-masing. Terma perang tayar seringkali digunakan oleh peminat sukan ini bagi menggambarkan peranan jenama tayar dan kualiti tayar kepada pelumba.

Dominasi Ferrari, Michael Schumacher dan tayar pilihan mereka Bridgestone dianggap sebagai contoh klasik pemenang kepada perang tayar ini. Bridgestone dikatakan mampu menghasilkan tayar terbaik kepada Ferrari, namun dengan kos yang sangat tinggi.

Ia tidak mampu ditandingi oleh pasukan-pasukan kecil yang hanya bergantung kepada tayar keluaran Dunlop atau Michelin. Maka, FIA merasakan ia sebagai sesuatu yang tidak adil kepada semua pasukan.

Spesifikasi teknikal yang berbeza 

Kredit gambar: Motorsports

Ketika satu perlumbaan Formula 1 United States Grand Prix, di Litar Indianapolis Motor Speedway, tayar Michelin menghadapi masalah teknikal. Ralf Schumacher sewaktu sesi latihan terbabas di selekoh ke-13 disebabkan masalah teknikal tayar.

Pasukan Michelin bergegas untuk mencari punca kegagalan tersebut dan berusaha untuk menggantikannya dengan tayar lain. Biarpun cuba membawa tayar baharu dari ibu pejabat mereka di Perancis, masalah tersebut tidak dapat diselesaikan.

Ia membawa kepada kegagalan tujuh pasukan kendalian mereka iaitu BAR, McLaren, Red Bull, Renault, Toyota, Sauber, dan Williams untuk bertanding. Hanya tiga pasukan iaitu pengguna Bridgestone seperti Ferrari, Jordan dan Minardi menyertai Formula 1 2005 United States Grand Prix.

Seperti dijangka, Michael Schumacher menang mudah bagi perlumbaan tersebut. Maka, apabila Bridgestone mengumumkan pengunduran selaku pembekal tayar bagi Formula 1, FIA mengambil langkah hanya membenarkan satu jenama tayar untuk menyeragamkan peluang kesemua pasukan tanpa mengira kedudukan kewangan mereka.