Filem The Platform merupakan filem yang sesuai ditonton jika anda mahu ‘mencabar otak’ anda untuk berfikir tentang isu sosio-ekonomi dunia. Jika anda mahukan filem yang santai dan ringan, The Platform bukanlah filem sesuai untuk anda.

Ketika artikel ini ditulis, The Platform merupakan kandungan trending nombor satu di Netflix Malaysia. Dalam pada masa yang sama, ia turut mendapat maklum balas yang bagus dan menimbulkan perbincangan susulan yang menarik dari audiens di Malaysia.

Filem ini merupakan filem berbahasa Sepanyol yang diarah oleh Galder Gaztelu-Urrutia dan dibintangi oleh beberapa pelakon Sepanyol yang anda tak kenal pun jika kami tulis namanya.

The Platform dipertontonkan kepada umum di  2019 Toronto International Film Festival, di mana ia memenangi anugerah People’s Choice Award for Midnight Madness.

Sinopsis

Plot The Platform bermula apabila watak utamanya, Goreng bangun dari tidur dan menyedari beliau kini berada di tingkat 48 sebuah penjara. Di tingkat 48 tersebut, beliau mempunyai rakan sebilik – lelaki tua bernama Trimagasi.

Goreng masuk penjara tersebut untuk mendapatkan diploma jika berjaya tahan selama enam bulan. Trimagasi pula masuk penjara itu kerana kesalahan membunuh orang tanpa niat.

Di penjara tersebut yang dipanggil ‘The Hole’, setiap banduan dibenarkan untuk membawa satu barang peribadi. Ketika tiba waktu makan, sebuah platform akan tiba di setiap tingkat penjara untuk membawa makanan kepada setiap banduan.

Cuma yang pelik (dan menariknya), makanan di platform tersebut perlu dikongsi oleh semua banduan di setiap tingkat. Jadi banduan di tingkat bawahan hanya akan dapat sisa makanan banduan di tingkat atasan.

Tidak puas hati dengan aturan makanan tersebut, Goreng mengambil keputusan untuk bertindak. Tetapi untuk bertindak, beliau perlu mengorbankan segalanya – diri, kawan, prinsip dan termasuklah moral.

Tema filem yang cemerlang

Kami dapat membayangkan setiap orang dewasa yang bekerja, pernah mengalami masalah kewangan dan pernah ditindas akan dapat melihat perkaitan tema filem The Platform dengan kehidupan mereka sendiri.

Kekuatan The Platform terletak pada seni metafora yang dijahit dengan kemas di setiap inci lembaran tema filem.

Kesukaran banduan tingkat bawahan untuk mendapat makanan melambangkan kerakusan orang kaya yang menindas golongan pekerja demi keuntungan peribadi.

Kesanggupan banduan membunuh rakan setingkat mereka melambangkan keterdesakan orang miskin yang terpaksa melakukan jenayah demi survival diri sendiri.

Perubahan moraliti Goreng demi mempertahankan prinsip yang diperjuangkannya melambangkan pergelutan dalaman yang dialami oleh ahli politik. Sebelum mendapat kuasa, ahli politik berjanji kepada diri sendiri dan pengundinya bahawa mereka tidak akan berubah.

Tetapi kita semua tahu – lain ceritanya bila mereka sudah mendapat kuasa.

Lakonan Ivan Massague sebagai Goreng juga cemerlang. Tetapi pujian istimewa harus diberikan kepada Zorion Eguileor, yang bagi kami, berjaya menunjukkan dualiti personalitinya dengan begitu baik – sehinggakan kami tak pasti beliau sebenarnya jahat atau baik?

Dari segi sinematografi, The Platform mengambil pendekatan minimalistik dan agak straightforward. Color palette merah mewakili situasi tegang.

Color palette biru gelap mewakili situasi tidak menentu.

Barangkali Gaztelu-Urrutia mahu penonton menumpukan fokus mereka kepada metafora pada plotnya, bukan pada visual stimuli.

Ending yang ‘kurang garam’

Jika ada satu kritikan yang boleh kami beri selepas menonton The Platform adalah penamat (ending) filem ini agak kurang memuaskan – seperti kurang garam dalam masakan.

Seperti masakan yang kurang garam, kita masih lagi boleh makan. Cuma kita takkan puas. Itulah yang kami rasa selepas melihat ending The Platform.

Ya kami faham mungkin pengarahnya, Gaztelu-Urrutia mahu penonton membuat kesimpulan sendiri untuk menjadikan filemnya ‘hidup’ dan sentiasa dibincangkan bertahun-tahun selepas menonton. Contohnya seperti filem Oldboy, Memento atau Shutter Island.

Tetapi selepas beberapa kejutan yang diberikan dalam plot, endings sebegitu agak kurang puas untuk dilihat.

Sekurang-kurangnya tunjukkan kepada penonton apa yang terjadi kepada ‘mesej’ yang dihantar oleh Goreng apabila sampai ke atas. Kemudian barulah biarkan penonton berspekulasi tentang nasib Goreng.

Rating Rencah: 7/10

Tonton trailer filem The Platform di bawah:

Baca juga artikel kami yang lain mengenai filem-filem yang trending di Malaysia: