Restoran Hameediyah Pulau Pinang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini.
Ketua Pegawai Operasi MBR, Christopher Wong berkata restoran nasi kandar berusia lebih 100 tahun itu mula beroperasi di Lebuh Campbell, di sini sejak tahun 1907 dan masih popular sehingga kini.
“Restoran nasi kadar keluarga ini telah beroperasi selama hampir 114 tahun dan kini diwarisi oleh generasi ketujuh keluarga berkenaan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Wong menyerahkan sijil pengiktirafan MBR itu kepada pemilik restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor sambil disaksikan Anggota Dewan Undangan Negeri Komtar, Teh Lai Heng.
Dalam pada itu, Ahamed melahirkan kesyukuran atas pengiktirafan MBR itu dan berjanji akan terus menghidangkan makanan dan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan restoran berkenaan.
“Kami sangat gembira atas pengiktirafan ini dan kami berasa sangat istimewa dan dihormati,” katanya.
Menurutnya, restoran Hameediyah menerima ramai tetamu terhormat, seperti pelakon, menteri bahkan Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.
“Seri Paduka Baginda berkenan berkunjung ke sini (Restoran Hameediyah) tahun ini, tetapi seperti kebanyakan pelanggan, kedatangan baginda tidak dijadualkan tetapi sekadar untuk menikmati makanan di sini,” katanya.
Sementara itu, Ahamed berkata restoran itu akan mewarisi resipi restoran keluarga itu kepada generasi seterusnya dan bercadang mengembangkan perniagaan ke seluruh negara.
Kini cawangan Restoran Nasi Kandar Hameediyah terdapat di Butterworth dan Kota Damansara, Petaling Jaya.
“Kami akan membuka cawangan di Sungai Ara di sini, yang dijangka dibuka bulan depan,” kata Ahamed.
Sejarah dan asal-usul Restoran Hameediyah
Restoran Hameediyah mula diasaskan pada tahun 1907 di Lebuh Campbell, Pulau Pinang oleh M. Mohamed Thamby Rawther, pedagang rempah dari Chittarkottai di daerah Ramanathapuram, Tamil Nadu, India.
Pada awal 1900-an, Mohamed Thamby berhijrah ke Tanah Melayu bersama 3 anak lelakinya – Seeni Packeer, Packeer Mohamed dan Abdul Ghaney.
Pada ketika itu, golongan lelaki memang biasa meninggalkan isteri, anak perempuan dan kampung halaman untuk berniaga. Mereka biasanya hanya akan balik ketika cuti dan meninggalkan perniagaan dalam jagaan anak atau saudara lelaki.
Sebaik tiba di Pulau Pinang, Mohamed Thamby dan anak-anak lelakinya menyewa rumah di Lebuh Campbell dari saudagar China. Di situ juga mereka menjual rempah-ratus dari India.
Ahmed Seeni Pakir, 65, merupakan waris generasi keenam Mohamed Thamby. Beliau berkata walaupun moyangnya tak pandai masak, beliau mempunyai mata yang tajam. Ini yang menjadi asas perniagaan Restoran Hameediyah.
“Walaupun dia tak pandai masak, dia banyak memerhatikan datuknya memasak ketika ada kenduri perkahwinan di kampungnya,” kata Seeni.
“Dengan pengetahuannya tentang rempah-ratus dan tips dari keluarga, Mohamed Thamby dan anak-anak lelakinya mencipta resepi masala yang masih menjadi asas semua kari kami di Hameediyah sehingga hari ini.
Menurut Seeni, Mohamed Thamby kemudiannya mula menjual nasi kandar di bawah pokok Angsana di padang depan kedai mereka.
“Nasi kandar itu adalah cara mereka nak menunjukkan kepada pelanggan cara nak masak rempah ratus yang mereka jual sebenarnya.
“Masa itu, British tak bagi orang jual makanan dalam kedai. Jadi Mohamed Thamby masak lauk-lauk kari di kedai rempah mereka sebelum mengandar periuk semua lauk kari itu ke padang. Itulah asal-usul nama nasi kandar.
‘Kemudian sampai di padang, mereka akan mula masak nasi pula.”
Bagaimanapun menurut Seeni, perniagaan nasi kandar Mohamed Thamby tidak laku pada mulanya kerana orang Melayu dan Cina tak berapa kenal dengan nasi kandar.
Tapi perniagaan mereka mula menjadi popular apabila mereka mula menjual di tempat-tempat lain.
Mohamed Thamby dan anak-anaknya akan berjalan berbatu-batu untuk menjual nasi kandarnya. Dari jeti ke Jalan Kapitan Keling, ke Jalan Datuk Koyah, ke Jalan Perangin sampailah ke Tanjung Tokong.
Mereka akan pergi ke tempat-tempat tersebut hanya pada hari-hari sibuk sahaja.
Permintaan nasi kandar mereka tidak pernah surut walaupun ketika zaman pendudukan Jepun pada era 1940-an. Puncanya adalah – tentera Jepun suka kari daging mereka.
Apabila British kembali memerintah Malaya selepas Perang Dunia Kedua, jualan nasi kandar meningkat sekali lagi kerana orang cuba menghabiskan ‘duit pokok pisang’ zaman Jepun sebelum ia menjadi tak laku.
Ketika inilah baru British membenarkan makanan dijual dalam kedai. Restoran Hameediyah pertama dibuka di Lot 164, Lebuh Campbell.
Pada tahun 60-an dan 70-an, kari daging Hameediyah menjadi popular dalam kalangan tentera Amerika Syarikat yang datang berlabuh di Pulau Pinang dahulu sebelum menuju ke Perang Vietnam.
Dalam kalangan penduduk tempatan pula, kari kurma, kari kapitan, murtabak, nasi briyani, rendang dan mee goreng Hameediyah yang menjadi kegilaan.
Meskipun ekonomi Pulau Pinang merudum sekejap selepas status pelabuhan bebas negeri itu ditarik pada 1969, Restoran Hameediyah terus bertahan.
Malah sejak akhir-akhir ini, Restoran Hameediyah semakin popular.
Ramai pelanggan memuji kesedapan dan kualiti kari yang disajikan oleh Hameediyah.
Bagi Hameediyah, rahsia kejayaan mereka terletak kepada kekuatan resepi asli peninggalan Mohamed Thamby.
“Kami masih guna resepi masala sama yang dicipta oleh Mohamed Thamby. Kami beli, campur, bakar dan giling sendiri rempah masala tersebut.
“Selain itu, daging dan makanan laut yang kami masak juga segar-segar,” kata Abdul Sukkor Syed Ibrahim, 23, generasi ketujuh Mohamed Thamby.