The Himalaya Drug Company, lebih dikenali sebagai jenama Himalaya tidak asing lagi kepada pengguna. Pada tahun 2006, dianggarkan pengguna Himalaya telah mencecah ke 106 buah negara.

Jenama terkenal ini diasaskan daripada campuran herba dan tradisi perubatan turun-temurun dari India. Biarpun begitu, Himalaya telah terjual lebih 50 peratus di luar negara asalnya.

Syarikat ini diasaskan oleh Mohammed Manal di Bombay (kini Mumbai) sejak 92 tahun yang lalu. Kini, perniagaan Himalaya disambung oleh anaknya Meraj Manal yang merupakan Pengerusi Himalaya Global Holdings Ltd.

Berasal daripada dua kalimah Sanskrit, ayus (kehidupan) dan veda (sains), Ayurveda merupakan kunci kesihatan bagi masyarakat India. Sejak 5,000 tahun yang lalu, masyarakat tempatan bergantung kepada herba tradisi untuk mengekalkan kesihatan mereka di tahap yang terbaik.

Kejayaan penting Himalaya ialah mengangkat ilmu Ayurveda ke tahap yang lebih baik. Mohammed Manal telah berjaya membawa Himalaya bersama asas Ayurveda ini dengan gabungan sains dan teknologi moden.

Namun begitu, kejayaan Himalaya pada hari ini tidak datang dengan mudah. Ini kisah kesusahan dan jerih-perih awal Mohammed Manal bagi membangunkan syarikat Himalaya.

Gadaian gelang ibunya

Kredit gambar: Nature

Idea Mohammed Manal menubuhkan Himalaya bermula dengan secara tidak sengaja. Ketika berbasikal melalui hutan tebal di Burma, beliau terserempak dengan kejadian gajah yang sedang naik minyak.

Penduduk kampung kemudiannya menyembuhkan gajah tersebut dengan hanya memberikannya makan akar pokok Rauwolfia Serpentina. Terpana dengan apa yang dilihatnya, Mohammed pulang ke rumahnya dan mula mengkaji kaitan saintifik antara keduanya.

Namun begitu, Mohammed bukan datang dari keluarga yang senang. Bagi membantu cita-citanya, ibu beliau sanggup menjual gelang miliknya agar Mohammed memiliki sedikit modal bagi membangunkan Himalaya.

Setelah yakin dengan penemuannya, Mohammed mula merancang untuk menjadikan akar tersebut di dalam bentuk tablet. Beliau melaburkan wang gadaian gelang itu dengan membeli mesin pembuat ubat tablet. Setiap hari, ratusan tablet berjaya dihasilkan.

Akhirnya, kesusahan Mohammed ini berjaya membuahkan hasil. Pokok yang ditemui beliau di dalam perjalanannya ke Burma dahulu kini menjadi sebahagian daripada sejarah. Ia kemudiannya dikenali sebagai Serpina, ubat anti-hipertensi pertama di dunia pada tahun 1934.

Bermula dengan Serpina, Himalaya kemudiannya berkembang maju.

Syarikat legasi keluarga

Kredit gambar: JB

Bukan tugas yang mudah untuk anak Mohammed, Meraj bagi meyakinkan ayahnya untuk mengembangkan perniagaan. Salah satu idea awalnya yang ditolak ialah memindahkan syarikat ke Bangalore.

Bagi mencapai idea tersebut, Meraj sanggup menggadaikan pangsapuri miliknya. Perpindahan tersebut akhirnya memberikan kelebihan buat Himalaya. Kilang mereka merupakan kilang herba pertama di India yang mendapat kelulusan Good Manufacturing Practices (GMP). 

Himalaya juga mencapai titik perubahan yang dinanti-nantikan pada tahun 1955. Ini apabila ubat ciptaan mereka, Liv.52 direkodkan sebagai ubat penyakit hati terpenting dalam sejarah perubatan. Sehingga hari ini, Liv.52 merupakan ubat paling tinggi jualan oleh Himalaya.

Kini, legasi Mohammed disambung oleh cucunya Nabeel Manal.