Jejari ketam merupakan sejenis makanan yang tidak asing lagi di dalam menu harian. Ia mudah didapati di pasar raya, pasar basah ataupun kedai serbaneka berdekatan dengan kediaman kita.

Peningkatan harga makanan laut juga menyebabkan permintaan terhadap pengganti ketam ini turut meningkat. Ia banyak digunakan di dalam makanan sup dan berkuah, selain makanan yang viral dari luar negara dan disesuaikan dengan citarasa tempatan.

Resepi seperti Vietnam Roll Crab Stick, Sup Jejari Ketam, Popia Crabstick Cheese antara yang menarik untuk dicuba. Namun begitu, terdapat satu rahsia yang mungkin tidak diketahui umum mengenai jejari ketam ini.

Biarpun agak mengelirukan, sebenarnya isi kandungan jejari ketam bukanlah berasal dari ketam. Berikut merupakan kisah disebalik makanan popular ini.

Makanan yang dicipta di Jepun

Kredit gambar: Coriander & Lace

Makanan laut yang berasaskan ikan seperti bebola dan jejari ikan amat popular di Asia Timur. Menurut sejarah, makanan seperti ini digelar sebagai surimi. Ia mula ditemui seawal tahun 1115.

Jejari ketam dalam bentuk flake ini pula mula dihasilkan oleh Syarikat Sugiyo Limited dari Jepun. Sebagai pelopor, Sugiyo turut mempatenkan ciptaannya ini pada tahun 1974.

Melalui kerjasama dengan syarikat Sugiyo bersama-sama Berelson Company of San Francisco, California, mereka memasarkan jejari ketam ini ke seluruh dunia. Ia mula dikenali dengan pelbagai nama seperti crab sticks, krab sticks, imitation crab (meat), ataupun seafood sticks. Penggunaan nama-nama berlainan ini adalah bagi memenuhi kehendak perundangan yang berbeza-beza mengikut negara.

Sebagai contoh, pihak berkuasa Food and Drug Administration di Amerika Syarikat mengarahkan agar jejari ketam ini dilabel sebagai “imitation crab.” Ini bagi membezakannya dengan ketam sebenar.

Kandungan sebenar jejari ketam

Kredit gambar: YouTube

Sebenarnya, jejari ketam ini merupakan ketam buatan sahaja. Ia tidak ada kena mengena langsung dengan ketam yang hidup ataupun yang telah diproses.

Ia banyak dihasilkan dari surimi, iaitu isi ikan yang telah diproses. Bagi menghasilkan surimi, masyarakat Jepun banyak menggunakan isi ikan Alaskan Pollock. Ini kerana ikan tersebut sangat mudah didapati di Lautan Pasifik.

Selain itu juga, jejari ketam ini turut mengandungi kandungan tambahan lain seperti tepung dan putih telur. Gula juga ditambah bagi membolehkan jejari ketam ini kekal segar biarpun dibekukan dalam tempoh masa yang lama. Bagi mengekalkan rasa keaslian ketam, ada jenama yang meletakkan rasa buatan yang menyerupai ketam.

Ia juga ditambah pewarna merah di luar bagi memberi rupa yang lebih menarik kepada pelanggan. Secara puratanya, kos penghasilan jejari ketam ini hanya 1/3 daripada ketam asli.

Namun begitu, disebabkan ia dihasilkan dari isi ikan, ia masih mengandungi kandungan protein yang baik untuk dimakan.