Permohonan bagi kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diawalkan tiga hari dari tarikh asalnya.
Pelaksanaan i-Citra dijangka akan menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. Pembayaran pertama pula dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini dengan pengeluaran maksimum sehingga RM5,000 yang akan memberi manfaat kepada seramai 12.6 juta ahli KWSP.
Sewaktu pengumuman Pakej PEMULIH, permohonan bagi pengeluaran tersebut hanya akan bermula pada 15 Julai iaitu Khamis ini. Namun begitu, kenyataan KWSP semalam menunjukkan ianya diawalkan mulai 12 Julai.
Tarikh akhir bagi permohonan i-Citra pula adalah sebelum atau pada 30 September 2021.
Syarat pengeluaran i-Citra
Pengeluaran i-Citra diperkenalkan untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada ahli yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka. Syarat permohonan adalah ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap. Pemohon juga perlulah mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan.
Syarat-syarat khusus bagi pengeluaran i-Citra adalah seperti berikut:
- Amaun kelayakan pengeluaran adalah sehingga maksimum RM5,000;
- Bayaran bulanan akan dibuat sehingga lima (5) bulan;
- Bayaran yang ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan;
- Bayaran minimum adalah RM50;
- Meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1; dan
- Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses setelah ditolak bayaran i-Sinar yang akan datang (jika ada).
Sekiranya pemohon masih berada di dalam pembayaran i-Sinar, maka pengeluaran i-Citra ini tidak menjejaskan sebarang bayaran bulanan i-Sinar yang masih berjalan. Namun begitu, amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses setelah ditolak bayaran i-Sinar yang akan datang sekiranya ada.
Waktu operasi pejabat KWSP sepanjang PKPD
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih dibenarkan untuk beroperasi selama separuh hari. Menurut kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, operasi pejabat dibenarkan bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari dengan kapasiti 60 peratus kehadiran pekerja bagi menguruskan penyaluran skim bantuan kerajaan.
Namun, bagi pejabat KWSP yang kecil seperti di kawasan luar bandar, jumlah pekerja dibenarkan dengan kapasiti maksimum. Biarpun permohonan i-Citra hanya dikemukakan secara dalam talian sahaja, terdapat beberapa urusan yang membabitkannya akan dirujuk ke pejawat KWSP seperti pendaftaran i-Akaun baharu dan pendaftaran nombor telefon bimbit.
Cara memohon i-Citra KWSP
Permohonan hanya secara dalam talian melalui portal i-Citra Online. Portal ini boleh diakses bermula hari ini bagi proses permohonan dan semakan pula boleh dibuat di laman web yang sama.
Permohonan i-Citra ini hanya boleh dikemukakan sekali sahaja. Maka pemohon perlu mengisikan maklumat yang betul dan lengkap bagi melancarkan urusan kelulusan dan pembayaran. Pindaan amaun juga adalah tidak dibenarkan selepas permohonan dikemukakan.
Bagi memudahkan permohonan dalam talian i-Citra, pemohon juga dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP). Selain itu juga, pemohon perlu memastikan akaun bank yang dikemukakan bagi proses pembayaran masih aktif untuk menerima bayaran tersebut.
Sekiranya anda berdepan dengan sebarang masalah, KWSP menyediakan beberapa medium untuk menghubungi mereka iaitu di media sosial rasmi mereka serta hotline khas bagi i-Citra di talian 03-8922 4848.