Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 193.1 juta, dengan 4.15 juta daripada kes tersebut membawa kepada kematian. Sebanyak lebih 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Data terbaharu yang dikeluarkan oleh Center for Systems Science and Engineering (CSSE) di Johns Hopkins University (JHU) menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan lebih 34.4 juta kes. Ini diikuti India dengan lebih 31.29 juta kes dan Brazil dengan hampir 19.6 juta kes.

Di Malaysia, sebanyak 15,902 kes dilaporkan setakat 24 Julai 2021 (semalam) dengan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 mencecah 996,393 kes. Sekiranya 3,607 kes direkodkan pada hari ini, negara bakal mencatatkan jumlah kumulatif kes positif yang ke 1 juta.

Rekod kes terendah sepanjang bulan Julai adalah pada 4 Julai 2021 dengan 6,045 kes positif manakala 15,902 kes positif semalam adalah yang paling tinggi pernah direkodkan. Maka tidak mustahil untuk beranggapan bahawa hari ini, jumlah 1 juta tersebut bakal dicatatkan.

Kes aktif Covid-19 kini melebihi 160,000 orang

Kredit gambar: https://ourworldindata.org/coronavirus/country/malaysia

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pertambahan sebanyak 15,902 kes semalam membawa kepada kumulatif kes positif Covid-19 mencecah 996,393 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 834,8585 kes sudahpun pulih dan sembuh, dengan kes aktif kini mencecah 161,535 pesakit.

Negara kini sedang berhadapan dengan krisis kesihatan terburuk dalam sejarah dengan sebanyak 7,902 angka kematian direkodkan. Kes Brought In Dead (BID) juga semakin membimbangkan di mana pesakit Covid-19 meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Sebanyak 32 kes BID yang dilaporkan oleh KKM semalam dengan jumlah tertinggi adalah sebanyak 33 kes yang dicatatkan pada 21 Julai 2021.

Kesiapsiagaan “Surge Capacity” Jabatan Kesihatan Selangor

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/835582/bhplus

Sebanyak 7,351 kes positif yang dilaporkan di Selangor setakat semalam dengan kes kumulatif mencecah 358,969. Setakat pagi ini, kes aktif kekal tinggi dengan 27,955 kes.

Situasi penularan penyakit Covid-19 yang serius juga menyebabkan Hospital Ampang yang ditukarkan fungsinya sebagai Hospital Full Covid-19 menerima jumlah pesakit yang sangat tinggi. Setakat ini, pesakit dalam kategori empat dan lima yang mengalami jangkitan serius dan memerlukan bantuan pernafasan akan ditempatkan di Hospital Ampang.

Fasiliti di Hospital Ampang telahpun digunakan melebihi kapasiti sedia ada. Biarpun begitu, pihak hospital telahpun mengambil langkah bagi memaksimumkan kapasiti untuk menerima pesakit yang memerlukan rawatan. Setakat ini, fasiliti di Hospital Ampang sebenarnya telah mencecah 120 peratus sejak ditukar fungsi menjadi Hospital Full Covid-19 pada 23 Jun yang lalu.

Situasi di Hospital Serdang juga ditambah baik dengan penyediaan 81 katil tambahan di Jabatan Kecemasan mereka bagi menempatkan pesakit dari kategori 3 ke atas. Selain itu juga, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut melaksanakan proses penyumberluaran (outsourcing) sebahagian daripada kes-kes bukan Covid-19 ke hospital-hospital swasta di negeri ini bagi mengimbangi kapasiti sedia ada.