Pengurusan sisa pepejal adalah satu proses yang sangat rumit dan kritikal. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan lambakan sisa-sisa barangan elektrik dan elektronik.

Cuba imbas kembali, di mana letaknya telefon bimbit pertama anda? Nokia 3310, Sony Ericcson K350i, BlackBerry Bold ataupun iPhone 4 ini sepatutnya dilupuskan dengan baik. Bagaimana pula dengan televisyen CRT pertama di rumah anda?

Semasa banjir melanda beberapa negeri akhir tahun lalu, kita berhadapan dengan sisa buangan pasca banjir yang sukar untuk dilupuskan. Bayangkan untuk Shah Alam sahaja, sebanyak 13,800 tan sampah pukal dikutip oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Selepas dua minggu, sebanyak 77,000 tan sisa buangan berjaya dikutip. Jumlah ini termasuklah 47,000 tan oleh syarikat KDEB Waste Management Sdn Bhd dan 30,000 tan lagi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak lain.

Timbunan sampah sarap ini termasuklah sisa e-waste yang terpaksa dibuang akibat terendam di dalam banjir. Artikel ini membincangkan tentang undang-undang sisa elektrik dan elektronik ini dan cara pelupusan yang selamat untuk sisa tersebut.

Terdapat undang-undang khusus

Kredit gambar: Discover Magazine

Berdasarkan kajian, dijangkakan sebanyak 24.5 juta unit e-waste akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025. Maka, sudah tentu ia memerlukan kepada bidangkuasa yang khusus bagi mendepaninya.

Pada hari ini, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Maka, ia tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Kod SW110 ini ditafsirkan sebagai buangan daripada pemasangan elektrikal dan elektronik yang mengandungi komponen seperti akumulator dan suis raksa. Selain itu juga, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif turut terkandung di dalam SW110.

Tanpa pengawasan, sisa buangan ini boleh mencemarkan alam sekitar. Ini kerana, ia mungkin mengandungi bahan seperti kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, dan lithium. Sisa e-waste ini terbahagi kepada dua iaitu daripada sektor industri dan yang dihasilkan daripada isi rumah.

Barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak seperti telefon bimbit, komputer, televisyen dan peti sejuk tidak boleh dibuang begitu sahaja.

Cara perlupusan sisa e-waste

Kredit gambar: The Star

Bukan sahaja di negara kita, e-waste kini telah menjadi masalah di seluruh dunia. Semakin banyak barangan elektrik dan elektronik dengan teknologi baru yang dihasilkan, semakin banyak juga e-waste lama yang perlu dilupuskan.

Maka, sebagai pengguna, kita dinasihatkan untuk menggunakan peralatan elektik dan elektronik dalam jangka masa yang lebih lama. Sekiranya peralatan tersebut mengalami kerosakan, adalah lebih baik untuk diperbaiki terlebih dahulu dengan sebaik mungkin sebelum ia dilupuskan.

Pengguna sebenarnya dikehendaki untuk melupuskan e-waste dari isi rumah ke saluran pengumpulan yang formal. Semua e-waste perlu dihantar kepada pengumpul atau pusat pengumpulan yang sedia berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar.

Anda boleh mencari pusat pengumpulan e-waste berdaftar di sini.