Sepanjang tahun 2020, pendapatan ByteDance iaitu syarikat teknologi berasal dari China yang merupakan pemilik kepada aplikasi video TikTok meningkat sekali ganda berbanding tahun 2019. Menurut memo dalaman yang dihantar kepada pekerja mereka, syarikat tersebut merekodkan pendapatan sebanyak RM142 bilion ($34.3 bilion) sepanjang tahun 2020.

Jumlah ini menunjukkan populariti TikTok terus meningkat di seluruh dunia biarpun terdapat tekanan dan sekatan daripada beberapa buah kerajaan di seluruh dunia.

ByteDance juga merekodkan peningkatan terhadap pendapatan kasar tahunan sebanyak 93% kepada RM78.6 bilion ($19 bilion). Syarikat tersebut juga merekodkan kerugian bersih sebanyak RM186 bilion ($45 bilion) bagi jangka masa yang sama, ekoran perubahan di dalam penyesuaian akaun syarikat. Kerugian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kos operasi terhadap syarikat.

ByteDance dinilaikan berjumlah hampir RM1.65 trilion ($400 bilion) menurut laporan South China Morning Post pada bulan April 2021 berdasarkan penilaian pelabur ekuiti persendirian. Sekiranya jumlah tersebut adalah tepat, nilai syarikat tersebut hampir dua kali ganda berbanding penilaian yang dilaporkan oleh Business Insider sebanyak RM579 bilion ($140 bilion) pada tahun 2017.

Tahun 2017 merupakan tahun pertama TikTok, aplikasi utama milik ByteDance memasuki pasaran global dengan kehadirannya di iOS dan Android. Menerusi memo yang sama, ByteDance dilaporkan mempunyai 1.9 bilion orang pengguna aktif di keseluruhan platformnya setakat Disember tahun lalu.

Tekanan oleh pentadbiran Amerika Syarikat

Kredit gambar: https://gadgets.ndtv.com/apps/news/tiktok-ban-bytedance-us-app-stores-commerce-department-preliminary-injunction-china-2335656

Populariti TikTok dilihat tidak tergugat biarpun mendapat tekanan daripada beberapa buah kerajaan di seluruh dunia termasuk China, India, Amerika Syarikat dan juga Pakistan.

Pada Khamis lalu, agensi berita Reuters melaporkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada awal bulan ini akan menyebabkan aplikasi yang berasal dari negara China untuk mengambil langkah yang lebih ketat bagi menjaga privasi data pengguna mereka. Syarat tersebut perlu dipatuhi sekiranya syarikat-syarikat ini mahu kekal berada di dalam pasaran Amerika Syarikat.

Perintah eksekutif dengan syarat terbaru ini merupakan langkah terbaru selepas Presiden Biden membatalkan perintah oleh Presiden Donald Trump yang mengharamkan terus penggunaan aplikasi WeChat dan TikTok di Amerika Syarikat. Perintah pengharaman itu menghadapi pelbagai siri cabaran perundangan di mahkamah dan tidak berjaya dikuatkuasakan sehingga Donald Trump tewas.

Bagaimanapun, menurut US Department of Commerce pihaknya akan memantau aplikasi yang dibina dan dihasilkan oleh syarikat luar seperti dari China. Sekiranya sebarang pengharaman perlu dilakukan, ianya adalah berdasarkan bukti dan fakta sekiranya aplikasi tersebut benar-benar membawa ancaman terhadap keselamatan Amerika Syarikat.

Semasa pentabiran Presiden Trump, beliau acapkali menyerang ByteDance secara melulu dan terbuka dengan menuduh TikTok membawa ancaman terhadap keselamatan negara. Pemimpin dan ahli politik yang lain juga menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya data pengguna aplikasi tersebut dimanipulasi oleh TikTok. Sehingga kini, TikTok menafikan kesemua tuduhan-tuduhan tersebut.

Sekatan dan kawal selia dari Beijing sendiri

Kredi gambar: https://www.livemint.com/companies/news/tiktok-troubles-narrow-gap-between-beijing-and-bytedance-founder-zhang-yiming-11599297941558.html

Pada sekitar April tahun ini, pengawal selia pasaran di China mula menekan 13 buah syarikat gergasi teknologi negara tersebut untuk lebih mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan mereka. Langkah tersebut dilihat sebagai satu cara kerajaan untuk menunjukkan taring mereka terhadap syarikat-syarikat teknologi tersebut.

Selama ini kerajaan China dilihat tidak memberikan sebarang tekanan terhadap gergasi teknologi negara tersebut seperti Tencent, JD.com, Xiaomi dan juga ByteDance. Antara syarat baru yang dikenakan termasuk meminta syarikat-syarikat tersebut untuk menunjukkan draf perubahan perniagaan yang mengikuti syarat seliaan kewangan China, menghentikan sebarang pautan yang dilihat tidak wajar di dalam aplikasi pembayaran dan lain-lain.

Syarikat-syarikat ini tidak mempunyai banyak pilihan setelah melihat bagaimana persediaan tawaran awam oleh Ant Group yang bernilai RM153 bilion ($37 bilion) tersekat akibat kritikan Jack Ma terhadap pengawal selia pasaran di China.

Tidak terhenti di situ sahaja, Alibaba juga kemudiannya didenda sebanyak RM11.5 bilion ($2.8 bilion) atas dakwaan monopoli.