Semalam pengeluar jam G-Shock, Casio, baru sahaja mengumumkan dua keluaran baru khas hasil kolaborasi dengan Dragon Ball Z (GA-110JDB) dan ONE PIECE (GA-110JOP). Keluaran baru khas yang bertemakan dua siri anime/manga popular Jepun ini diumumkan tidak lama selepas Casio berkolaborasi dengan Evangelion.

Berbanding Evangelion, nama Dragon Ball Z dan ONE PIECE jauh lebih popular di Malaysia. Ini pastinya akan membuatkan ramai peminatnya di Malaysia terliur dengan dua keluaran terbaru jam tangan G-Shock tersebut.

G-Shock Dragon Ball Z

Menurut kenyataan rasmi Casio, G-Shock Dragon Ball Z atau nama modelnya GA-110JDB bakal hadir dengan warna dan rekaan yang berani. Badannya yang berwarna oren turut dihiasi degan ilustrasi dan elemen grafik watak utamanya, Son Goku.

Paling menarik, jarum jam dan logonya dihiasi dengan warna emas. Pada kedudukan pukul 9, terdapat motif bola naga, yang sinonim dengan identiti Dragon Ball. Pada kedudukan pukul 3 pula terdapat motif ‘Z’.

Logo rasmi Dragon Ball Z pula boleh dilihat di belakang permukaan jam dan di permukaan kotak jam.

G-Shock ONE PIECE

Sementara itu, G-Shock ONE PIECE atau nama modelnya GA-110JOP pula menggunakan warna hitam sebagai warna asas, dengan keseluruhan jam dihiasi dengan ilustrasi watak utamanya, Monkey D. Luffy.

Permukaan jam pada kedudukan pukul 9 memaparkan rekaan motif topi jerami Luffy. Pada kedudukan pukul 3 pula, motif perkataan ‘WANTED’ dapat kelihatan.

Apabila jarum jam dan minit menghala ke nombor 2 dan 4, ia akan membentuk motif ‘X’ yang berwarna emas. Motif ‘X’ ini mewakili bentuk parut luka di dada Luffy serta menyerlahkan semangat ONE PIECE yang sukakan cabaran.

Keluaran khas ini turut mempunyai logo ‘G-SHOCK x ONE PIECE’ di permukaan belakang jam.

Harga G-Shock Dragon Ball Z dan ONE PIECE di Malaysia

Menurut Casio, G-Shock keluaran khas ini merupakan keluaran edisi terhad dan bakal dijual di Jepun, Asia dan Eropah. Di Jepun, dua model khas ini akan dijual pada harga JDY26,400 (kira-kira RM1,052).

Rencah telah menghubungi salah seorang pengedar rasmi G-Shock Malaysia yang mempunyai kedai di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya. Menurut wakil kedainya yang tidak mahu dinamakan, keluaran khas G-Shock Dragon Ball Z dan ONE PIECE ini akan tiba di kedai mereka ‘dalam masa 1-2 bulan’.

Ini bermakna peminat Dragon Ball Z dan One Piece akan boleh mula membeli jam tangan edisi khas ini di kedai mereka seawal-awalnya pada Julai 2020 dan selewat-lewatnya pada Ogos 2020.

Ketika ditanya mengenai harganya, dia menjawab ‘tidak pasti’. Tetapi kami menjangkakan harganya tak lari jauh daripada harga jualan di Jepun iaitu sekitar RM1,100-1,200.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: