Berita baik buat golongan pekerja yang mencarum simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) setiap bulan, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 membenarkan pengeluaran wang daripada Akaun 1.

Kaedah pengeluaran adalah secara bersasar selama 12 bulan bermula Januari 2021 depan.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kebenaran secara bersasar itu akan membolehkan ahli KWSP mengeluarkan simpanan sehingga RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

“Pengeluaran ini adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan RM4 bilion,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau lagi, ahli yang memenuhi syarat perlu membuat permohonan mulai Januari tahun hadapan.

Langkah lain yang turut diambil adalah kadar caruman minimum KWSP pekerja turut dikurangkan daripada 11% kepada 9% mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau take-home pay.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion.”

“KWSP juga telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada bulan April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan, selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000,” katanya.

Skim tersebut ujar beliau telah memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Baca Lagi Artikel Berkaitan BELANJAWAN 2021:

RM500 Buat Frontliners KKM Sebagai Tanda Penghargaan

Sumber: