Ketika dunia sedang berperang dengan wabak COVID-19, sebuah video yang menunjukkan seorang pekerja kilang di China mengelap kasut dengan stok face mask menjadi tular di media sosial.
Stok face mask yang dilap dengan kasut itu dikatakan akan dieksport ke luar negara.
Ketika ini China sedang galak menyumbang kit ujian, face mask dan pelbagai peralatan perubatan kepada banyak negara untuk memperbaiki imej negara mereka di mata dunia. Bagaimanapun timbul pula laporan bahawa peralatan yang disumbang oleh China kebanyakannya rosak dan tak boleh digunakan.
Pada masa yang sama, Parti Komunis China (CCP) turut sedang galak menyebarkan teori konspirasi yang menyalahkan Amerika Syarikat kerana mencipta wabak COVID-19 dan menyebarkannya di Wuhan.
Face mask eksport dilap dengan kasut
Dalam video ini, seorang pekerja kilang face mask di China dilihat mengelap kasutnya dengan face mask kilang tersebut. Lelaki tersebut yang tidak memakai face mask dengan betul turut dilihat bergelak tawa sambil mengelap kasutnya dengan face mask.
Video itu dimuat naik pada pagi Isnin, 30 Mac lepas oleh seorang vlogger China dari Wuhan yang menamakan akaunnya ‘Harry Chen PhD’.
Akaun beliau meraih 35,000 pengikut selepas memuat naik beberapa video yang mendedahkan situasi sebenar wabak COVID-19 di Wuhan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh CCP.
Menurut laporan Taiwan News, pemilik akaun tersebut memberitahu video tersebut dirakam pada 30 Mac 2020 oleh pekerja kilang face mask tersebut.
Beliau turut memberitahu Taiwan News bahawa video tersebut pada mulanya menjadi tular di Douyin, aplikasi versi TikTok di China. Tetapi ia dipadam dari aplikasi tersebut dalam masa beberapa minit selepas dimuat naik.
Kilang face mask tersebut dikatakan terletak di bandar Zhenjiang, wilayah Jiangsu.
Dalam video tersebut, pekerja kilang tersebut dapat didengari bercakap kepada perakam dalam dialek Zhenjiang pekat: “Dah cukup elok kah? Ini face mask untuk dieksport kan?”
Pemilik akaun ‘Harry Chen PhD’ turut memberi amaran supaya tidak mempercayai bulat-bulat mutu dan kualiti barangan perubatan dari China.