Segala maklumat peribadi sama ada diri sendiri dan juga ahli keluarga seperti nama dan gambar anak-anak perlu menjadi rahsia dan tidak sepatutnya dikongsi secara terbuka.
Mengapa perlu dikongsi di media sosial untuk tatapan umum? Sebenarnya perbuatan ini hanya mendedahkan anak-anak dengan pelbagai bahaya. Terutamanya kepada golongan pedofil.
Melalui perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, beliau berkongsi tentang trend ibu bapa yang berkongsi nama dan anak-anak secara terbuka semata-mata kerana ada individu yang menawarkan duit raya.
“Saya sangat tidak selesa dengan satu trend terkini. Semalam ada yang minta orang ramai kongsi nama anak dengan menawarkan duit raya sebagai ganjaran. Hari ni ada guna taktik sama minta gambar anak pula.
“Tak sangka ramai pula yang kongsi gambar anak-anak mereka. Kenapa ada yang tega kongsi nama, gambar anak, serta nombor akaun bank, sedangkan orang yang meminta tu mereka tak kenal pun?
“Saudara-saudari, di dunia ini ada orang baik, dan ada juga segelintir yang sentiasa mencari peluang atas kebaikan orang. Bukan suruh kita buruk sangka, tapi kita haruslah sentiasa berwaspada.
“Jadi, berhati-hatilah. Anak-anak tak tahu apa. Tugas kita adalah untuk melindungi anak-anak. Termasuk lindungi privasi mereka. Bukan sekadar lindungi mereka dari ancaman fizikal sahaja.
“Kita yang dewasa ni, jika wajah dan nama kita dijaja oleh ibubapa kita kepada orang yang tidak dikenali, demi dapatkan sedikit duit raya, mesti kita pun tak selesa, kan?
“Marilah kita berpesan-pesan hal ini.
“Semoga Tuhan lindungi kita dan anak-anak kita dari helah, tipu daya dan ancaman yang kita tidak sedari. Anak adalah amanah.
Hakikat ini turut dipersetujui oleh Noor Afidah Abu Bakar, konsultan Parent Connect.
Ini bukan soal dengki.
Bukan juga soal “kenapa serius sangat?”
Bukan juga soal “bagi chance la nak happy happy” di Hari Raya.
Ini soal KESELAMATAN anak-anak kita dan kanak-kanak di Malaysia umumnya.
Bayi dan kanak-kanak memerlukan orang dewasa yang cakna, peduli dan mengambil berat tentang keselamatan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab semua orang dewasa yang berakal dalam masyarakat untuk memastikan bayi dan kanak-kanak tidak terdedah kepada bahaya yang tidak diduga dan juga bahaya yang sengaja diundang baik di dunia nyata ataupun di dalam talian.
Apabila rakan Parent Connect memaklumkan kepada saya tentang ‘undangan’ yang sebegini, kami benar-benar gusar akan keselamatan beratus-ratus kanak-kanak di mana gambar mereka telah dimuatnaik oleh ibubapa demi duit Raya.
Ini bukan sahaja melibatkan gambar dan nama anak, apabila gambar dan maklumat anak dimuat naik oleh ibubapa di platform umum (public setting), dengan sekaligus maklumat-maklumat yang tidak diminta juga boleh diakses dengan mudah di akaun ibubapa tersebut, seperti:
*tempat tinggal
*sekolah
*pengasuh
*taska
*tadika
*pekerjaan ibubapa
*rutin harian kanak-kanak
*rutin harian ibubapa dan sebagainya,
Maklumat ini bukan sahaja dimiliki oleh individu yang meminta maklumat, malah juga oleh PEMANGSA-PEMANGSA ONLINE yang sentiasa memerhati dan mencari peluang dengan niat yang tidak baik. TIADA JAMINAN ia tidak akan jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.
*Tahukah anda di Asia Tenggara ini, Malaysia merupakan negara yang mempunyai paling ramai pengguna internet yang memuat naik dan memuat turun gambar dan video PORNOGRAFI KANAK-KANAK?
*Adakah ibubapa betul-betul kenal siapakah gerangan yang meminta gambar dan maklumat anak di media sosial itu?
*Sedarkah ibubapa ramai pemangsa yang ‘memerhati’ dan menunggu peluang apabila ‘privacy setting’ sesuatu ‘posting’ adalah ‘public’ dan dikongsi pula ke pelbagai grup di Facebook secara rawak untuk mendapat perhatian dan respon?
*Caknakah ibubapa tentang keselamatan kanak-kanak di dalam talian?
*Sedarkah ibubapa bahawa memberi maklumat tentang kanak-kanak kepada NETIZEN YANG TIDAK DIKENALI boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak dan juga keluarga?
Jika ibubapa belum sedar, maka sudah sampai masanya untuk kita sama-sama tahu bahawa anak-anak kita sekarang membesar dalam dua dunia iaitu dunia nyata dan dunia digital. Kedua-dua dunia boleh membahayakan kanak-kanak jika ibubapa dan orang dewasa masih bersikap ‘tidak mengapa’ terhadap PRIVASI anak demi mendapatkan habuan material.
Ini merupakan cabaran ibubapa zaman digital sekarang yang harus diambil kisahkan. Generasi ibubapa dan datuk nenek kita dahulu tidak melalui cabaran ini, oleh itu kita perlu sentiasa memperlengkapkan diri kita dengan pengetahuan tentang dunia di mana anak kita dibesarkan kini.
Kepada PENIAGA ONLINE, sekiranya modus operandi sebegini dilakukan dengan tujuan mendapatkan maklumat pelanggan sasaran, maka tidak perlulah melibatkan kanak-kanak. Please!
Jika anda ingin berkongsi rezeki, banyak cara lain untuk berkongsi rezeki tanpa mendedahkan kanak-kanak kepada PEMANGSA ONLINE.
Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa dan orang dewasa untuk melindungi kanak-kanak yang masih belum berupaya untuk memelihara keselamatan diri mereka sendiri.
Ibubapa sekalian…
Caknalah!
Ini soal keselamatan kanak-kanak.