Paxlovid merupakan ubat di dalam bentuk pil yang dikeluarkan oleh Pfizer. Setakat ini, data klinikal menunjukkan Paxlovid boleh mengurangkan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital. Ia juga mampu mengurangkan risiko kematian dengan kadar 88.9 peratus.

Data klinikal ini merupakan kajian terhadap pesakit yang diberikan Paxlovid tiga hari sejurus selepas bermulanya gejala. Kadar keberkesanannya pula ialah 87.8 peratus apabila diberi lima hari selepas simptom bermula.

Pil antiviral ini dianggap sebagai ‘game changer’ bagi pengamal perubatan. Menurut Yale Medicine, ubat yang boleh diambil seperti Panadol ini menunjukkan keberkesanan yang jitu dan mampu menghalang kes-kes yang lebih serius.

Berikut merupakan latar belakang dan kesan sampingan Paxlovid yang telah diketahui.

Latar belakang Paxlovid

Kredit gambar: CNN

Sekitar awal bulan November tahun lalu, Pfizer mengumumkan kejayaan kajian klinikal pil anti-viral Paxlovid. Ubat ini merupakan gabungan diantara dua jenis ubat iaitu nirmatrelvir dan ritonavir.

Paxlovid bukanlah pil pertama yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal bagi melawan kesan Covid-19. Pil anti-viral terawal dihasilkan oleh Merck yang dinamakan sebagai molnupiravir. Namun begitu, kajian klinikal awal menunjukkan molnupiravir hanya mampu memberikan 30 peratus pengurangan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

Selepas sebulan diumumkan oleh Pfizer, Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat akhirnya memberikan lampu hijau. Kebenaran penggunaan Paxlovid bagaimanapun dihadkan kepada individu berusia 12 tahun ke atas dengan berat minimum 39.9kg.

Pil anti-viral ini tidak dijual secara terbuka, malah pengambilannya masih di bawah kawalan. Ia jual sebagai satu kit untuk pengambilan terkawal pada harga $700 (RM2,936) bagi setiap kit rawatan.

Pfizer mengumumkan bahawa ia akan mengenakan caj lebih rendah untuk ubat itu di negara berpendapatan rendah. Namun begitu, syarikat tersebut masih tidak mendedahkan harga tersebut.

Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pula telah memuktamadkan pembelian Paxlovid pada bulan Februari. Perolehan pertama membabitkan bekalan kepada 110,000 pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi.

Pada awal bulan ini, Malaysia menerima sebanyak 48,000 stok ubat Paxlovid menerusi penghantaran fasa pertama.

Kesan sampingan yang diketahui

Kredit gambar: New York Times

Semasa memohon kelulusan FDA, Pfizer memberikan data klinikal pada tahun 2021. Ia menunjukkan pesakit yang diberikan Paxlovid mampu bertahan dan mencegah kemasukan ke hospital sebanyak 89 peratus. Namun begitu, pada tahun 2021 varian Omicron belum lagi dominan seperti hari ini.

Sehingga hari ini, data klinikal menunjukkan tiada kesan sampingan serius terhadap pengambilan Paxlovid. Kesan sampingan biasa hanyalah cirit-birit, sakit sendi, peningkatan tekanan darah dan perubahan deria rasa.

Penggunaan pil Paxlovid juga tidak menjejaskan apa-apa fungsi buah pinggang. Kajian ini bagaimanapun dibuat kepada pesakit yang hanya mengalami masalah buah pinggang yang tidak serius.

Namun begitu, bagi pesakit yang sedang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, mereka lebih digalakkan untuk mengambil pil molnupiravir sebagai pilihan lain.