Pendatang asing tanpa izin (PATI) akan terus membanjiri Malaysia jika kita meneruskan kelemahan kita dalam penguatkuasaan undang-undang, kelemahan polisi ekonomi, tidak proaktif menaikkan gaji minimum dan terus melabur dalam bidang teknologi.
Penemuan ini merupakan intipati yang diperolehi oleh Malay Mail selepas menemu ramah NGO dan pekerja asing susulan timbul hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang mahu melihat hanya pekerja tempatan bekerja di Pasar Borong Selayang.
Secara jujurnya, empat kelemahan ini juga menjadi punca mengapa Malaysia terperangkap dalam ‘middle income trap‘.
Middle income trap merupakan fenomena yang berlaku apabila ekonomi sesebuah negara terbantut perkembangannya di peringkat pertengahan hingga menggagalkan usaha mereka menjadi negara maju (berpendapatan tinggi).
Antara ciri-ciri negara yang terperangkap dalam middle income trap adalah:
- Sektor ekonomi sudah ada diversiti, tapi kurangnya pengkhususan (specialization).
- Sektor ekonomi menarik banyak pelaburan, tetapi kurangnya fokus kepada inovasi.
- Modal insan sudah mempunyai skil untuk menggunakan teknologi, tetapi kurang skil untuk mencipta teknologi.
Status Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana
Malaysia sebenarnya sudah dikategorikan oleh Bank Dunia sebagai negara upper middle income pada tahun 1979. Status itu bagaimanapun jatuh sementara ke lower middle income pada era 80-an.
Tetapi pada tahun 1991, kita dikategorikan sebagai negara upper middle income semula.
Untuk menunjukkan betapa lamanya kita terperangkap dalam middle income trap, perhatikan data ini. Antara tahun 2010 hingga 2015, KDNK per kapita Malaysia meningkat dari USD9,069 ke USD 9,766, ataupun hanya sebanyak USD700 sahaja.
Sedangkan dalam jangka masa yang sama, China berjaya meningkatkan KDNK per kapita mereka dari USD4,516 to USD7,925.
15 tahun lepas, Malaysia dikategorikan sebagai negara middle income bersama-sama dengan Taiwan, Singapura, Korea Selatan dan Hong Kong. Tetapi mundar laju ke sekarang, semua negara ini sudah bergelar negara maju. Kecuali Malaysia.
Malaysia tidak keseorangan dalam middle income trap. Menurut rekod Bank Dunia, daripada 101 negara middle income pada tahun 1960, hanya 13 negara sahaja telah berjaya mencapai status negara maju pada 2008 iaitu:
- Equatorial Guinea
- Greece
- Hong Kong
- Ireland
- Israel
- Jepun
- Korea Selatan
- Mauritius
- Portugal
- Puerto Rico
- Singapore
- Spain
- Taiwan
Ini menunjukkan Malaysia sebenarnya sudah lama terperangkap dalam middle income trap. Untuk menjadi negara maju, kita mesti memperbaiki empat kelemahan berikut:
1. Kelemahan penguatkuasaan
Satu persamaan yang wujud di semua negara maju adalah tahap penguatkuasaan undang-undang dan polisi kerajaan mereka yang baik.
Sementara itu, satu persamaan yang wujud di semua negara middle income dan dunia ketiga adalah kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan polisi kerajaan mereka.
Sebagai sebuah negara, tak guna kita menggubal polisi sesempurna macam mana pun kalau ia tidak dikuatkuasakan dengan betul akibat rasuah, sikap malas, produktiviti penjawat awam yang rendah serta tiada rasa kebertanggungjawapan (accountability) dari orang awam.
Menyalahkan kebanjiran PATI kepada PATI adalah ibarat menyalahkan nyamuk yang masuk kelambu apabila pintu kelambu dibuka. Sepatutnya kita sendiri yang perlu dipersalahkan.
Contohnya dalam kes kebanjiran PATI di Pasar Borong Selayang atau di Kompleks Kotaraya. Apabila PATI boleh berniaga di sana, kita perlu bertanya: di mana rasa kebertanggungjawapan pemilik yang mengalibabakan premisnya?
Mengapa tiada orang yang membuat laporan?
Jika ada laporan dibuat kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan?
2. Polisi ekonomi yang tidak proaktif
Salah satu punca utama mengapa ekonomi Malaysia melonjak naik pada era 90-an adalah hasil daripada peralihan ekonomi berasaskan sumber alam (pertanian, perlombongan, pembalakan dsb) kepada ekonomi berasaskan industri pembuatan.
Peralihan ini adalah hasil inisiatif Tun Dr. Mahathir seawal 1978 lagi ketika beliau bertugas sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Pada ketika itu, Mahathir mengumumkan Malaysia mempunyai buruh tempatan yang murah untuk menarik minat pelaburan asing luar (FDI) daripada Motorola, Robert Bosch, Western Digital dan National Semiconductor di zon-zon perdagangan bebas di Bayan Lepas dan Sungai Way.
Selain buruh murah, satu lagi insentif yang ditawarkan oleh Mahathir kepada pelabur-pelabur asing ini adalah jaminan kesatuan pekerja (union) tidak dibenarkan ditubuh.
Kemudian apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981, industrialisasi di Malaysia diperhebatkan oleh hubungan rapat beliau dengan Jepun serta penubuhan industri berat seperti automotif.
Tetapi kelebihan polisi ekonomi ini juga adalah kelemahannya. Di saat pelabur asing terjumpa negara yang menawarkan buruh lebih murah, mereka akan berpindah.
Inilah yang terjadi kepada Malaysia apabila Vietnam, Indonesia dan Thailand mula memperhebatkan industrialisasi di negara mereka. Kita tidak lagi mampu menawarkan buruh yang lebih murah daripada mereka.
Kelambatan kerajaan kita menyediakan polisi ekonomi yang menjangkakan perubahan ini menyebabkan Malaysia terpaksa mengimport buruh luar sehingga dibanjiri PATI; semata-mata untuk mengekalkan operasi kilang pelabur di sini.
Rakyat tempatan yang kini sudah ramai berpendidikan tinggi pula mengalami masalah kekurangan pekerjaan yang setimpal dengan sijil dan ijazah mereka.
3. Gaji minimum rendah
Adalah menakjubkan apabila kerajaan mengambil masa berdekad-dekad sejak hari pertama industrialisasi sebelum menetapkan polisi gaji minimum untuk semua pekerja di Malaysia.
Dan yang lebih menakjubkan adalah bila kita menyedari hakikat gaji minimum di Malaysia masih terlalu rendah untuk hidup dengan cukup keperluan asas, iaitu RM1,200. Padahal gaji minimum RM1,200 ini sebenarnya telah diminta oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak tahun 2008 lagi.
Pada tahun 2008, kerajaan memberikan pelbagai alasan untuk menolak permintaan MTUC yang mahu polisi gaji minimum dilaksanakan. Alasan-alasan ini tak lain tak bukan hanya sekadar ‘wayang’ untuk membela tokey-tokey dan cukong-cukong industri yang membiayai dana parti politik mereka.
Kebergantungan ekonomi Malaysia terhadap sektor pembuatan, pembinaan serta pertanian yang rendah daya inovasinya menyebabkan kita bergantung kepada buruh asing dan PATI. Jika dipandang dari sudut positifnya, ia membuatkan kos barang-barang menjadi murah.
Tetapi tanpa gaji yang kompetitif, barang ‘murah’ sebenarnya boleh menjadi mahal akibat inflasi.
4. Ekonomi kurang menekankan penggunaan teknologi
Jika diperhatikan di negara-negara maju, bukanlah mereka langsung tidak mempunyai sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian seperti Malaysia. Ada sahaja.
Cuma beza mereka dengan Malaysia adalah, segala-galanya berteraskan teknologi. Di kilang-kilang, ladang-ladang serta kawasan pembinaan, negara maju lebih banyak menggunakan teknologi seperti robot dan mesin. Bukannya banyak menggunakan buruh asing dan PATI seperti Malaysia.
Jika difikirkan kos, tokey-tokey dan cukong-cukong industri ini mahu sahaja menggunakan buruh asing. Tetapi disebabkan penguatkuasaan undang-undang imigresen yang ketat, polisi ekonomi yang proaktif serta gaji minimum yang tinggi, mereka tiada pilihan lain selain membeli mesin dan robot.
Dalam jangka masa pendek, mesin dan robot yang dibeli oleh mereka mungkin mahal. Tetapi dalam jangka masa panjang, ia lebih murah kerana produktiviti robot/mesin jauh lebih tinggi daripada manusia.
Dari segi negatifnya, penekanan terhadap teknologi ini akan menyebabkan tak ramai orang dapat pekerjaan.
Tetapi dari segi positifnya, ia akan ‘memaksa’ kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memperhebatkan industri teknologi pula untuk mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat.