Kejayaan demi kejayaan yang ditempa oleh Datuk Azizulhasni Awang telah berjaya membuka mata peminat sukan tempatan. Aktiviti sukan berbasikal trek bukanlah sukan yang biasa dipertandingkan dari peringkat sekolah. Maka, sukan tersebut sebenarnya asing buat peminat sukan tanah air.

Namun begitu, kejayaan pelumba dengan gelaran The Pocket Rocketman itu tidak datang dengan mudah. Sejak dari tahun 2007, beliau terpaksa berlatih di luar negara dan berjauhan dengan keluarga. Negara Australia menjadi bumi latihan, dan John Beasley menjadi bapa angkatnya di negara tersebut.

Ini kisah jurulatih tersebut iaitu John Beasley, individu disebalik The Pocket Rocketman.

Berasal dari tiga generasi keluarga sukan berbasikal

Kredit gambar: Bicycling Australia

Keluarga Beasley merupakan keluarga atlet berbasikal yang sangat dikenali di Australia. Digelar John Beasley Junior, beliau merupakan anak kepada lagenda sukan berbasikal Australia, John Beasley Senior. Datuknya, John Joseph “Jack” Beasley juga merupakan atlet berbasikal tersohor di negara tersebut. Maka, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan sukan ini merupakan darah dagingnya.

Mereka juga memiliki kedai sukan basikal sendiri di Melbourne dengan nama Beasley Cycles. Kedai tersebut telah memulakan perniagaan sejak tahun 1919 dan kekal utuh sehingga hari ini. Pada usia 102 tahun, kedai Beasley Cycles ini adalah antara kedai basikal tertua di Australia.

Melihat datuknya John Joseph Beasley dan bapanya John Beasley Senior, tidak menghairankan apabila John Beasley Junior sangat komited dengan sukan ini.

Mula menjadi jurulatih kepada Josiah Ng

Kredit gambar: Zimbio

John Beasley sebenarnya bukan sahaja melatih Datuk Azizulhasni Awang sahaja. Beliau pernah melatih Josiah Ng, seorang lagi lagenda sukan berbasikal negara.

Penglibatan beliau secara rasmi dengan Institut Sukan Negara pada tahun 2006. Dan kini selepas 15 tahun, John Beasley kekal sebagai jurulatih berbangsa asing yang paling lama berkhidmat.

Sepanjang satu dekad setengah kejurulatihan beliau, Datuk Azizulhasni berjaya membawa pulang puluhan pingat. Antaranya tujuh pingat kejuaraan berbasikal dunia, sepuluh pingat kejuaraan berbasikal Asia dan dua pingat gangsa dan perak di Sukan Oilimpik.

Hubungan yang sangat akrab dengan atlet

Kredit gambar: Harian Metro

Kerana lahir dalam keluarga sukan, ia mendorong John Beasley untuk melayan atlet di bawahnya seperi keluarga sendiri. Beliau meraikan mereka di Melbourne di musim perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha, serta memasak juadah istimewa sewaktu Krismas. Hubungan akrab tersebut menjadikan beliau sangat disayangi oleh atlet-atlet berbasikal negara.

Datuk Azizulhasni pernah menceritakan bagaimana John Beasley tidak mengambil makanan di dalam satu penerbangan. Makanan tersebut diberikan kepada beliau atas alasan John masih lagi kenyang. Walhal, jurulatih itu berbuat demikian hanya kerana mahu memastikan atletnya itu cukup makan dan bertenaga untuk mewakili negara.

Isterinya juga merupakan seorang bekas atlet sukan berbasikal Australia. Vicki Beasley disifatkan John sebagai sangat memahami dan bertolak ansur sepanjang beliau menjalankan tugasnya. Vicki juga mempunyai hubungan yang baik dengan atlet-atlet Malaysia dan keluarga mereka di Melbourne.

Pada sekitar tahun 2016, khidmat Beasley turut ditagih oleh beberapa negara lain seperti UAE, Jepun, Hong Kong dan Iran. Namun, beliau terus kekal setia membimbing skuad berbasikal kebangsaan.

Masa depan skuad berbasikal kebangsaan

Kredit gambar: The Sun Daily

Pingat perak yang dimenangi oleh Datuk Azizulhasni di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini bukanlah satu pengakhiran. John Beasley telah bertekad untuk terus membimbing The Pocket Rocketman untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain Azizulhasni, John juga bertanggungjawab melatih Mohd Shah Firdaus, Fadhil Zonis and Anis Rosidi di Melbourne. Tidak terhenti disitu, beliau kini sedang mencari pelapis seramai 12 orang sebagai atlet keirin seterusnya untuk mewakili negara.

Semoga usaha keras John Beasley, Datuk Azizulhasni dan pasukan mereka akan membuahkan emas buat negara di Paris.