Israel bertindak melakukan boikot dan perbuatan khianat terhadap industri pertanian Palestin secara rasminya pada Ahad lepas susulan tindakan kerajaan Palestin menghentikan import lembu dari Israel pada September 2019.
Tindakan Israel itu membuatkan pendapatan eksport hasil pertanian Palestin yang bernilai USD88 juta pada 2019 jatuh mendadak. Nilai jumlah eksport hasil pertanian Palestin ke Israel merangkumi 68% daripada USD88 juta tersebut, menurut Kementerian Pertanian Palestin.
Sebelum ini pada Januari lepas, tentera Israel bertindak sengaja mengepam air ke ladang milik rakyat Palestin sehingga banjir. Kejadian berlaku di Jabalia dan Beit Hanoun di timur Gaza.
Sekat pintu sempadan
Tidak cukup dengan itu pada Ahad lepas, Menteri Pertahanan Israel Naftali Bennet mengarahkan tentera Israel untuk tidak membenarkan petani Palestin menghantar produk sayuran dan buah-buahan mereka melepasi sempadan Allenby yang melintasi Jordan.
Pintu sempadan tersebut merupakan satu-satunya laluan eksport Palestin ke luar negara.
Menurut Times of Israel, krisis dagang antara Israel dengan Palestin ini bermula apabila kerajaan Palestin bertindak menghentikan urusan import daging lembu dari Israel. Kerajaan Palestin memberitahu sebanyak 120,000 ekor lembu diimport setiap bulan dari Israel.
Susulan daripada tindakan ini, Palestin kemudiannya bertindak mengimport lembu dari negara lain. Tindakan ini dibuat untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi Palestin kepada Israel.
Tindakan Palestin ini membuatkan peladang lembu Israel rugi besar. Mereka kemudiannya mendesak kerajaan Israel untuk mengambil tindakan. Menteri Pertahanan Israel bertindak dengan memboikot daging lembu Palestin.
Perang dagang ini berterusan apabila Palestin meluaskan kempen boikot mereka kepada produk sayuran, buah-buahan, minuman dan air mineral Israel pula.
Palestin berkata tindakan ini dibuat supaya Israel menarik semula boikot mereka. Tetapi ia hanya membuatkan Israel makin galak dengan mula ‘mendajalkan’ industri sayur-sayuran dan buah-buahan Palestin pula.
Israel menegaskan mereka akan menghentikan perbuatan khianat ini hanya jika Palestin menarik dahulu kempen boikot daging lembu mereka.
Krisis tiada tanda reda
Krisis dagang Israel-Palestin ini muncul susulan peningkatan insiden keganasan yang disebabkan oleh pengumuman pelan keamaan pentadbiran yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump – yang ditolak oleh Palestin melalui protes jalanan.
Protes yang berlanjutan selama seminggu ini mencapai puncak pada Khamis lepas selepas sebuah kereta cuba melanggar sekumpulan tentera Israel di Jerusalem. Tak cukup dengan itu, dua penembak turut menyerang hingga mencederakan 14 rakyat Israel di Tebing Barat.
Tentera Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan di Jenin, Bethlehem dan beberapa lagi tempat di Tebing Barat yang membunuh empat warga Palestin – dua daripadanya anggota keselamatan.