Novak Djokovic mendedahkan beliau adalah seorang anti-vaxxer (penentang vaksin) dan berpendapat beliau ‘tidak mahu melihat orang dipaksa mengambil vaksin’.
Pemain tenis lelaki nombor satu dunia ini turut memberitahu beliau mungkin akan mengambil masa kembali ke dunia kompetitif tenis sekiranya setiap pemain diwajibkan mengambil vaksin COVID-19.
Individu-individu berpengaruh dalam dunia tenis berpendapat semua pemain perlu divaksin apabila musim disambung semula, dengan syarat vaksin COVID-19 telah siap pada ketika itu.
Bercakap dalam Facebook Live bersama beberapa atlet Serbia lain, Djokovic berkata:
“Secara peribadinya saya tak bersetuju dengan arahan vaksinasi dan saya tak mahu dipaksa oleh seseorang untuk ambil vaksin kalau nak pergi luar negara.
“Tapi kalau benda ini jadi wajib, apa yang akan berlaku? Saya kena buat keputusan.
“Saya ada pendirian saya sendiri berhubung isu vaksinasi. Pendirian ini mungkin akan berubah, saya tak tahu.”
“Kalau musim tenis disambung pada July, Ogos atau September, walaupun ia nampak susah, saya faham mungkin vaksin akan jadi kewajipan lepas habis kuarantin.”
Vaksin merupakan salah satu ciptaan penting manusia dalam tamadun peradaban manusia. Ia bertanggungjawab melenyapkan banyak penakit berjangkit pada abad ke-19.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, vaksin dikritik oleh sesetengah komuniti anti vaxxer, seperti Djokovic, yang mengaitkan pengambilan vaksin dengan penyakit autisme. Perkaitan ini timbul susulan kajian saintis British, Andre Wakefield yang kemudiannya ditarik balik oleh penulis sama.
Bagaimanapun impak kajian salah Wakefield ini bukan sahaja memberi kesan kepada penarikan lesen perubatan Wakefield. Malah ia bertanggungjawab menjadi ‘kitab’ utama kumpulan anti-vaxxers untuk menentang sebarang bentuk program vaksinasi.
Amelie Mauresmo, bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia, pula berkata sukan tersebut tidak sepatutnya disambung melainkan pemain sudah diberi vaksin.
Pakar kesihatan menjangkakan vaksin COVID-19 mungkin akan siap seawal-awalnya pada tahun 2021. Ini bermakna musim tenis 2020 mungkin akan dibatalkan terus.
Mauresmo menulis di Twitter:
“Saya rasa kita kena batalkan musim 2020 tenis. Sirkit antarabangsa = semua pemain termasuk staf pengurusan, penonton dan orang ramai dari 4 benua yang menjadikan acara ini satu realiti. Tiada vaksin = tiada vaksin.”
Penularan wabak COVID-19 membuatkan musim tenis 2020 ditangguhkan paling awal sehingga 13 Julai.
Kejohanan Terbuka Wimbledon sebelum ini telah pun membatalkan penganjurannya buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua. Kejohanan Terbuka Perancis pula ditangguhkan selama empat bulan sehingga lewat September.