NASA dilaporkan telah memilih syarikat SpaceX yang dimiliki oleh Elon Musk untuk membina kapal angkasa serba baharu bagi membawa angkawasan ke Bulan. Menerusi program Artemis, NASA dijangka akan menghantar dua orang angkawasan ke Bulan pada tahun 2024.
Kapal angkasa tersebut akan dibina berdasarkan rekaan kapal SpaceX Starship yang sedang melalui ujian demi ujian di Texas. Sebelum ini beberapa individu seperti Jeff Bezos serta syarikat Dynetics turut menyatakan hasrat bagi membina projek pembinaan kapal angkasa ini yang dijangka menelan belanja sebanyak RM11.9 bilion.
Projek Artemis dilancarkan secara berperingkat ketika Presiden Barrack Obama dengan cadangan untuk mengorbit Planet Marikh pada tahun 2030. Sewaktu Presiden Donald Trump memegang tampuk pemerintahan, National Space Council diaktifkan semula dengan Naib Presiden Mike Pence mengetuainya.
Projek yang dimulakan pada tahun 2020 dan dijangka selesai fasa pertamanya pada 2024 menelan belanja hampir RM144.4 bilion. Artemis turut mendapat sokongan Presiden Joe Biden, dengan misi utama mereka adalah menghantar angkawasan wanita pertama ke bulan. Projek ini juga dijangka akan membawa seorang lagi angkasawan dari kaum minoriti dari Amerika Syarikat yang bakal mencipta sejarah baru bagi negara tersebut.