Bermula pada minggu ini, Money Heist – atau tajuk dalam bahasa Sepanyolnya, La Casa de Papel – akan mula menyiarkan musim keempat siri lapan episod ini di Netflix.
Musim pertama rancangan berbahasa bukan Inggeris yang paling banyak ditonton di seluruh dunia ini menceritakan tentang sebuah geng perompak memecah masuk Royal Mint of Spain, dan mengambil 67 orang sebagai tebusan untuk mencetak wang sebanyak €2.4 bilion.
Memasuki musim kedua, geng perompak ini mendapati pelan mereka tidak mengikut rancangan asal. Pada musim ketiga, kesetiaan mereka diuji.
Pada musim keempat kali ini, siri yang diilhamkan oleh Alex Pina ini ‘lebih mendebarkan’ dan ‘membuatkan anda lupa tentang COVID-19’.
Sejak mula disiarkan di Netflix pada 2017, Money Heist menjadi siri paling banyak ditonton di Perancis, Itali, Argentina dan Brazil. Musim ketiga siri ini yang dikeluarkan pada tahun lepas ditonton oleh 34 juta isi rumah pada minggu pertama sahaja.
Impak Money Heist sangat besar sehinggakan semasa perayaan Halloween, ribuan peminat siri ini menghantar gambar mereka memakai jumpsuit berwarna merah dan memakai topeng Salvador Dali. Ada juga yang menghantar gambar tatu Tokyo dan Professor.
Malah topeng Salavador Dali itu turut dipakai di protes di Puerto Rico dan rompakan di Nantes, Perancis. Di Argentina, banyak ibu bapa menamakan anak mereka dengan nama watak protagonis.
Money Heist membawa satu kelainan kepada penonton drama bersiri yang tak pernah menonton kandungan berbahasa Sepanyol. Siri ini tidak berselindung dengan budaya Sepanyol. Ia membuatkan penonton tertarik dengan keunikan budaya yang dipaparkan – selain kekuatan plot dan kecemerlangan barisan pelakonnya.
Ia juga penuh dengan kontras emosi. Contohnya dinamik hubungan percintaan antara Profesor dengan pegawai polis, Raquel.
Maka tak hairanlah Money Heist berjaya menawan jutaan penonton seluruh dunia. Kejayaan siri ini turut meyakinkan Netflix untuk memberi bajet lebih banyak – sekaligus menghasilkan musim keempat yang lebih bertenaga dan lebih mahal kosnya.
Pada musim keempat ini, penulis siri Money Heist menjanjikan ‘kejutan’ untuk penonton. Jika pada musim ketiga, Profesor mengalami trauma. Pada musim keempat ini, Profesor yang biasanya rasional mula bertindak di luar kawalan.
Selain itu ia juga menawarkan pertembungan falsafah politik anarki terutamanya apabila geng perompak tersebut menyanyikan lagu tema protes Itali, Bella Ciao. Skeptisme terhadap kerajaan, bank negara dan sistemnya disulam kemas dengan turun naik emosi untuk menghasilkan naratif yang menghiburkan.
Biasanya filem aksi kurang menyentuh falsafah. Filem falsafah pula membosankan. Money Heist menggabungkan kedua-duanya dengan berjaya sekali.
Kejayaan terbesar siri ini adalah apabila media melaporkan pelarian luar negara menyanyi lagu Bella Ciao selepas berjaya diselamatkan oleh bot badan bukan kerajaan (NGO) Sepanyol.
Siri keempat (Part Four) Money Heist sudah boleh ditonton di Netflix Malaysia bermula 3 April 2020.