Lebih 80 penjaja dan peniaga kecil tidak berlesen sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 disaran menyertai program penyusunan semula golongan itu pada esok dan Ahad ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Meranti di kawasan berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk memiliki lesen sah.

Katanya, Jabatan Pelesenan membuka kaunter yang menawarkan permit sementara manakala Jabatan Bangunan menjelaskan cara memohon tambahan struktur seperti sengkuap dan dinding sesekat.

“Pemohon lesen dalam program ini akan dikenakan harga lebih murah berbanding biasa.

“Selesai taklimat mereka boleh terus memohon kebenaran melalui kaunter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Haris berkata program itu turut menampilkan wakil Jabatan Perancangan bagi menerangkan aspek kebenaran merancang manakala Jabatan Kesihatan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Beliau menambah program bermula jam 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu manakala Ahad sehingga 12 tengah hari turut mendapat kerjasama Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Dalam program sama, MBSA turut akan membantu penjaja dan peniaga kecil sekitar Bandar Baru Sungai Buloh memohon permit niaga sementara.

Selain permohonan permit lesen penjaja sementara, taklimat tersebut juga melibatkan permohonan permit ubah suai bangunan, kebenaran merancang dan kebersihan serta keselamatan makanan.

“Tuan-puan adalah dijemput untuk hadir ke program ini. MBSA akan membuka kaunter permohonan permit penjaja sementara, permohonan permit binaan bumbung sengkuap, dinding sesekat dan sebagainya,” notis itu dipetik.

PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: