Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersedia untuk memperkasakan penggunaan teknologi terkini dalam menangani penularan wabak Covid-19.  Dengan memanfaatkan kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, pengurusan data raya dan simulasi, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini dilaporkan bersedia untuk membantu kerajaan dengan beberapa teknologi yang telah dibangunkan.

MARii dilaporkan telah berjaya membangunkan beberapa platform pintar untuk mengurangkan penularan Covid-19 berasaskan cari, uji, jejak, asing dan sokong (FTTIS). Menerusi penggunaan data kawasan berisiko tinggi, platform pemodelan ramalan dan simulasi yang dibangunkan menerusi Pusat Simulasi dan Analisis MARii (MARSAC) berpotensi untuk menjangkakan corak jangkitan dan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.

MARii juga telah membangunkan kit ujian biocip ImmuSAFE COVID+, iaitu ujian serologi yang boleh mengenal pasti jangkitan awal dan kehadiran antibodi pelindung dalam badan individu yang mengalami jangkitan awal. Ini boleh dilakukan tanpa mengira sama ada mereka mempunyai gejala atau tanpa simptom. Ujian ImmuSAFE memiliki sensitiviti dan kekhususan 100 peratus selain telah disahkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Begitu juga dengan penjejakan dan pengasingan kontak rapat kepada individu yang dijangkiti virus itu boleh dilakukan menerusi aplikasi MARii Tracker. Aplikasi ini boleh mengenal pasti kontak rapat individu yang dijangkiti dan kumpulan yang boleh terus bekerja tanpa sebarang risiko jangkitan.

Sumber: