Anda sudah pasti terbiasa dengan terma probiotik di dalam susu kultur seperti Yakult dan Vitagen. Ia sering dikatakan baik untuk penghadaman dan kesihatan usus selain mempunyai rasa yang enak sehingga digemari kanak-kanak.

Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui tentang bahan sebenar yang terkandung di dalamnya. Susu kultur atau susu fermentasi adalah produk susu yang diperam dengan sejenis bakteria dikenali sebagai Lactobacilli atau Bifidobacteria. Proses fermentasi ini menjadikan sebahagian daripada susu tersebut dicerna oleh bakteria. Ia secara tidak langsung menjadikan produk susu ini lebih mudah diproses oleh sistem pencernaan badan.

Pasaran probiotik telah mengalami peningkatan yang mendadak sejak kebelakangan ini. Kepelbagaian produk mengandungi kultur probiotik, seperti yogurt dan minuman susu berkultur, serta suplemen probiotik kini semakin banyak di pasaran.

Umumnya, susu kultur yang mengandungi probiotik ini merupakan minuman yang sangat popular di negara seperti Jepun. Mari kita fahami kebaikan probiotik yang mampu membantu sistem penghadaman tubuh badan.

Probiotik dan undang-undang terkait dengannya

Kredit gambar: Gempak

Banyak bukti dalam kajian probiotik yang menunjukkan manfaat bakteria ‘baik’ untuk usus. Ia menyebabkan kepercayaan pengguna terhadap probiotik dan popularitinya yang semakin meningkat.

Bagi mengelakkan berlakunya pemalsuan produk, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan satu peraturan makanan khusus berkenaan produk probiotik pada tahun 2018. Peraturan ini dikenali sebagai Peraturan 26A dalam Peraturan-peraturan Makanan Malaysia 1985.

Menerusi peraturan ini, KKM menyediakan definisi probiotik dari segi undang-undang serta mengawal jenis kultur hidup/bakteria bermanfaat yang boleh digunakan sebagai probiotik oleh pengeluar makanan. Undang-undang ini menyatakan dengan jelas apa itu produk probiotik yang sah.

Peraturan 26A telah mendefinasikan kultur probiotik, iaitu mikroorganisma hidup yang boleh memberikan manfaat kesihatan kepada tubuh manusia sekiranya diambil dalam kuantiti yang mencukupi. Terma yang sama turut digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kekalkan kesihatan sistem penghadaman

Kredit gambar: Dr Ian Stern

 

Terdapat banyak bukti klinikal menyokong keberkesanan probiotik dalam memelihara kesihatan terutamanya membantu sistem penghadaman dan imun. Bukti terkini juga menyokong peranan probiotik (seperti Lactobaccilli) mengurangkan pelbagai kondisi berkaitan dengan gastrousus, contohnya penyakit keradangan usus (inflammatory bowel disease), sindrom usus rengsa (irritable bowel syndrome), cirit-birit dan sembelit.

Beberapa kajian melaporkan bahawa persediaan probiotik yang mengandungi Bifidobacteria dikaitkan dengan pengurangan cirit-birit berkaitan antibiotik (antibiotic-associated diarrhoea) terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Terdapat juga bukti tentang kesan probiotik dalam keadaan kesihatan lain seperti mengurangkan simptom selesema dan meningkatkan prestasi atlet semasa bersukan. Kehadiran bakteria baik yang mencukupi juga meningkatkan keimunan semula jadi di dalam tubuh badan manusia.

Sebanyak 70 peratus sistem imun kita berada dalam sistem penghadaman. Maka, dengan pengambilan kultur probiotik hidup ini dapat membantu meningkatkan bakteria baik dalam usus untuk penghadaman yang lebih sihat dan sistem imun yang lebih kuat.