Berita seorang lelaki China di Wilayah Yunnan yang mati selepas diuji positif Hantavirus merisaukan masyarakat satu dunia yang masih bergelut menangani impak wabak Coronavirus, COVID-19.

Hantavirus merupakan sejenis virus yang jarang tetapi boleh mengakibatkan kematian kepada manusia. Ia berasal dari rodensia (tikus dan keluarganya).

Berita kematian lelaki China yang disebabkan oleh hantavirus itu dilaporkan oleh media China berbahasa Inggeris, Global Times.

Laporan berita ini menimbulkan kerisauan (dan kemunculan meme) baru kepada masyarakat antarabangsa yang tertanya-tanya: adakah China akan ada wabak pandemik Hantavirus pula selepas ini?

Meme yang tular selepas berita kematian Hantavirus di China tersiar

Sebelum kita panik, perlu diingat Hantavirus bukanlah virus baru dan satu kes kematian di China yang berpunca daripada Hantavirus tidak akan menyebabkan wabak dalam kalangan manusia.

Hantavirus sudah wujud sejak berdekad-dekad lamanya dan tidak boleh disebarkan dari manusia ke manusia seperti COVID-19.

Hantavirus tersebar ke manusia dari rodensia seperti tikus dan kesnya sangat jarang-jarang berlaku. Ia boleh disebarkan melalui air kencing, najis, gigitan dan air liur rodensia.

Jadi melainkan anda jenis orang yang makan tikus mentah-mentah seperti lelaki China di bawah ini, anda tak perlu risau dengan Hantavirus.

https://twitter.com/Rxist__/status/1242392246973939712

Strain pertama Hantavirus mula dikesan ketika Perang Korea apabila ia membunuh 190 tentera Amerika Syarikat dan membuatkan hampir 3,000 lagi jatuh sakit.

Sejenis penyakit terkenal yang disebabkan oleh Hantavirus adalah Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS) yang mula dikesan di Amerika Syarikat pada 1993.

Walaupun kes Hantavirus jarang berlaku, ia sangat serius dan mempunyai kadar kematian sebanyak 38%, jauh lebih tinggi berbanding kadar kematian COVID-19 iaitu sebanyak 2% ke 4%.

Berbeza dengan penyakit yang disebabkan oleh Hantavirus, COVID-19 telah tersebar di seluruh dunia dalam jangka masa berbulan-bulan sahaja sejak mula dikesan pada lewat tahun 2019.

Ketika artikel ini ditulis, COVID-19 telah mencatat lebih 400,000 kes dan meragut lebih 18,000 nyawa. Di Malaysia, sebanyak 17 kematian sudah tercatat setakat ini.

Oleh kerana Hantavirus ini bukanlah virus baru dan ia tidak boleh disebar dari manusia ke manusia, anda tidak perlu panik dengan kemungkinan akan adanya wabak penyakit baru.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai China: