Lelaki tertua di dunia, Chitetsu Watanabe dilaporkan telah meninggal dunia pada Ahad lalu di Jepun. Perkembangan tersebut disahkan oleh Kerajaan Wilayah Niigata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Chitetsu Watanabe secara rasmi memegang rekod Rekod Dunia Guiness sebagai lelaki paling tua pada 12 Februari lalu. Beliau yang menetap di rumah penjagaan di Niigata dilahirkan pada 5 Mac 1907.
Menurut Rekod Dunia Guiness, Watanabe dilahirkan di Niigata dan kemudiannya berpindah ke Taiwan untuk bekerja di ladang tebu untuk penghasilan gula. Selepas 18 tahun, ,mendiang kemudiannya kembali semula ke Jepun dan bekerja di pejabat pertanian sehingga persaraannya.
Sumber tersebut turut menyatakan bahawa Watanabe juga pernah berkhidmat sebagai tentera Jepun pada tahun 1944 ketika perang Pasifik, tetapi minatnya nyata begitu mendalam terhadap pertanian. Waktu persaraannnya dihabiskan dengan bercucuk tanah sehinggalah usia mendiang menjengah 104 tahun.
Ketika majlis menobatkannya selaku lelaki tertua di dunia di rumah penjagaan Niigata, Chitetsu Watanabe berkongsikan tips bahawa banyak tersenyum dan tidak marah-marah menjadi rahsia buatnya. Menantu mendiang, Yoko Watanabe turut mengakui perkara tersebut.
”Saya sudah tinggal bersamanya selama lebih dari 50 tahun dan saya tidak pernah melihatnya meninggikan suara atau marah.”
”Dia juga merupakan seorang yang penyayang. Apabila saya melakukan hobi saya, dia orang yang paling memuji hasil kerja saya. Saya merasakan tinggal bersama keluarga besar dalam satu bumbung, bergaul dengan cucu dan cicit membantunya kekal tersenyum,” ujar Yoko Watanabe dalam laporan Washington Post.
Kredit foto: Guinnes World Records