Seorang lelaki bertindak nekad untuk balik ke kampungnya di Tanah Merah, Kelantan dengan hanya jalan kaki dari Kuala Lumpur. Perjalanan meliputi jarak sejauh 428km dan mengambil masa tiga hari 20 jam dengan berjalan kaki.

Menceritakan perjalanannya di akaun Facebook ‘Matnoe Poksu Din’ miliknya, lelaki yang berasal dari Kampung Lawang, Jedok, Tanah Merah itu berkata beliau nekad berjalan kaki selepas dirayu oleh anak kecilnya.

“24 April 2020 lepas [saya] buat panggilan video dengan anak nombor dua.

Anisa: “Bah bila nak balik? nisa rindu ko abah.”
Abah: “Takdok bas loni. Abah takleh balik.”
Anisa: “Pah nisa tokleh jupo nge abah sapa bilo-bilo la? Abah balik la jalan kaki.”
Abah: “Jauh la sayang.”
Anisa: “Dekat jah abah.”

“200% semangat untuk cuba balik berjumpa anak.”

Sehari selepas panggilan video tersebut, lelaki itu memulakan perjalanannya.

Sesat di Ipoh

Pada asalnya dia mahu pulang mengikut Lebuhraya Karak. Namun dia sesat sehingga melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan tiba di Ipoh, Perak, petang semalam.

Menurutnya lagi, sepanjang perjalanan di Lebuhraya PLUS, dia cuba menyekat lori untuk menumpang balik. Namun usahanya gagal.

Keadaan menjadi bertambah sukar apabila tapak kasutnya mula koyak ketika sampai di Ipoh selepas seharian berjalan.

Menerusi status Facebook yang dimuat naik pemuda berkenaan, ketika di Ipoh inilah dia berhenti berehat, tidur dan mengecas telefon di Terminal Amanjaya, Ipoh.

Sepanjang perjalanannya dari Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng ke Terminal Amanjaya, beliau melalui dua sekatan jalan polis.

Sebaik tiba di Ipoh, kisahnya mula menjadi tular sehingga dia menerima banyak tawaran daripada orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan duit. Tetapi dia tak mahu menerima kerana menurutnya:

“Saya ada lagi duit makan untuk sehari dua ini. Bukanlah nak cakap saya kaya. Cuma musim susah ini, saya tak tergamak nak ambil duit orang.”

Ketika inilah ada anggota bomba yang simpati dan mahu menghantarnya sehingga ke Gerik (pelannya adalah untuk pergi ke Jeli dari Gerik), memandangkan kisah pemuda berkenaan sudah tular di media sosial.

Sebaik tiba di Gerik, ada pula sebuah lori ayam dari Pulau Pinang yang membantu menumpangkannya dari Gerik ke Tanah Merah.

Difahamkan dia telah pun selamat sampai tiba di kampungnya awal pada pagi 28 April, 2 hari selepas bergerak jalan kaki dari Lembah Klang.

“Ujian perjalanan tanpa ‘kabel. Semuanya dipermudahkan atas doa kawan-lawan semua,” tulisnya.

Bas ke Kelantan tak ada

Lelaki tersebut dikatakan terpaksa berjalan kaki selepas mendapati bas ekspres ke Kelantan di Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) tidak beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Isteri lelaki tersebut, Sara Anisa pula memberitahu situasi suaminya menjadi bertambah sukar selepas sebulan menganggur di Lembah Klang.

“Gila kepala memikir. Duduk Kuala Lumpur pun tauke halau dah, sebulan dah tak kerja. Tauke pun halau la dari rumah yang dia beri duduk tu. Duit pun tak ada nak buat makan. Jadi keputusan dia, jalan kaki nak balik rumah,” katanya menerusi status di Facebook.

Sungguh besar kasih lelaki ini kepada anaknya sampaikan jalan kaki dari Lembah Klang ke Kelantan pun dia sanggup! Syukur perjalanannya dipermudahkan oleh rakyat Malaysia lain yang baik hati sehingga dia selamat sampai di Tanah Merah.

Baca juga artikel lain yang berkaitan dengan sekatan perjalanan PKP: