Pemilik jenama butik pakaian muslimah Leeyanarahman menafikan dakwaan ‘aniaya pelanggan’ susulan kegagalan mereka menyiapkan tempahan baju pelanggan menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Isu ini menjadi tular selepas seorang pelanggan mereka, Fatin Izati, 19, meluahkan rasa kurang senang dengan kegagalan Leeyanarahman memulangkan duit tempahan bajunya yang tidak siap-siap.

Kata Fatin, baju raya yang dipesan tidak sampai pada waktu yang dijanjikan. Justeru dia meminta jenama itu untuk memulangkan semula wangnya yang berjumlah RM452 dengan kadar segera.

“Saya order baju menerusi ‘personal shopper’ pada 6 Mei lalu terus membuat bayaran penuh. Pada 12 Mei saya mendapat kiriman mesej yang menyatakan baju tersebut tidak dapat sampai ke butik sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Saya terus minta ‘refund’ dan pihak sana menjanjikan bayaran akan dibayar secara berperingkat. Selepas beberapa hari, saya mesej semula untuk menanyakan tarikh yang akan dibayar tetapi tidak dibalas.

“Sebenarnya saya tidak kisah sekiranya mereka lambat untuk memulangkan duit saya. Tujuan saya viralkan di media sosial supaya tidak ada orang lain yang terkena juga.

“Saya dapat tahu bukan saya seorang saja terkena, ramai lagi termasuklah kakak ipar dan kawan saya.”

Ditipu kilang di Guangzhou

Pemiliknya, Nur Liyana Abdul Rahman menjelaskan kegagalan memenuhi tempahan pelanggan itu berpunca daripada kegagalan pihak kilangnya di Guangzhou, China.

“Semua orang tahu kilang kami berada di Guangzhou, China. Jadi disebabkan Covid-19, kilang itu baru kembali beroperasi pada bulan Mac lalu,” katanya ketika ditemuramah oleh Gempak.

“Mereka menjanjikan bulan dan bintang kepada kami. Kami ada dalam 70 rekaan, dalam 80% dah sampai dan sudah terjual.

“Pada 29 haribulan kami dapat senarai pembungkusan (packing list) untuk kumpulan akhir (last batch). Itu bermaksud kami perlu bayar baki bayaran sebanyak RM711,000 untuk diproses. Kami ada bukti semua transaksi yang dibuat.

“Selepas bayar bakinya pada 30 haribulan, setiap hari kami tanya dengan pihak kilang sana bila barang nak sampai. Namun, bila asyik diasak rupanya barang tak ada. Mereka bagitahu semua baju dihantar ke Korea untuk dijahit di sana. Itu memang alasan bodoh dari mereka. 

Kena minta maaf

“Dalam keadaan begini, saya memang kena jujur dengan pelanggan yang telah bayar cuma saya takda kongsikan di Instagram (IG). Saya buat video dan bagi kepada lima orang ‘admin’ saya.

“Setiap ‘admin’ itu di bawahnya ada lebih 1000 orang pelanggan. Jadi bukan ambil masa lima minit untuk balas dan ‘refund’ semuanya.

“Ada sesetengah pelanggan dia faham dan berikan maklumat yang lengkap. Ada pulak yang bising dan maki dulu tanpa beri nombor akaun. Macam mana kami nak proses, itu yang jadi lambat.

“Pihak kami juga perlu semak dahulu setiap satu bayaran. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) haritu ramai juga yang tipu dan jadi ‘scammer’. Bayangkan beribu-ribu punya ‘refund’.

Dah ramai dapat duit refund

“Setiap hari kami cuba untuk ‘refund’ seramai yang mungkin sampai dua pagi kami bekerja. Alhamdulillah sebenarnya dah ramai yang dapat duit mereka.

“Itu situasi sebenar. Tak ada istilah kami makan atau ambil duit pelanggan. Demi Allah, kami tak ada guna duit pelanggan untuk ‘rolling’ duit perniagaan. 

“Viral itu memang takkan habis. Setiap tahun viral. Leeyanarahman ini dah enam tahun beroperasi, kami memang nak kekal dalam tempoh lama,” katanya. 

Liyana berkata dia akan membuat permohonan maaf kepada semua pelanggan (dan bekas pelanggan) selepas selesai membuat semua urusan memulangkan duit (refund) tempahan yang gagal dipenuhi.

“Saya dah tak fikir untung rugi sekarang ini sebab memang dah rugi. Saya nak selesaikan ‘refund’ pelanggan dulu sebelum hari raya. Jumlah keseluruhan yang dah selesai sekarang ini RM300,000.

“Selepas selesai dengan pelanggan, saya akan jelaskan apa sebenarnya yang dah berlaku. Sekarang ini kalau saya cakap pun orang takkan percaya dan puas hati sebab tengah panas hati,” katanya lagi.

Staf diludah

Kesan yang diterima oleh Leeyanarahman susulan kes ini sememangnya berat. Liyana mendedahkan ada stafnya yang telah diludah oleh pelanggan gara-gara kegagalan mereka memenuhi tempahan.

“Tidak cukup dengan kata-kata makian di WhatsApp, ada pelanggan yang datang HQ tuntut baju raya mereka. Kami terpaksa cari barang dia dalam timbunan barang yang banyak tu. 

“Ada staf yang kena ludah. Mana mereka punya adab, kami bukan anjing. Kami manusia biasa macam orang lain juga.

“Saya rasa lepas raya ini mungkin ‘admin’ saya akan berhenti kerja sebab dah tak tahan. Mereka trauma, setiap hari menangis.”

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: