Bersempena dengan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menawarkan pengurangan bayaran saman. Kempen pengurangan bayaran saman sehingga 80 peratus ini bermula dari 9 hingga 12 Disember 2021 iaitu selama tempoh (4) hari sahaja. Had minimum bagi satu-satu pembayaran saman adalah RM30.

Dalam tempoh 24 jam sahaja, pihak polis memperoleh bayaran saman berjumlah kira-kira RM13.6 juta. Kaunter pembayaran saman yang menawarkan diskaun tersebut sewaktu program 100 Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC juga diserbu orang ramai. Ini turut menyebabkan penganjur program tersebut didenda sebanyak RM1,000 kerana gagal mengawal kesesakan pengunjung.

Kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di KLCC juga ditutup serta-merta. Namun begitu, jangan risau sekiranya anda terlepas peluang ini. Ini cara lain yang boleh digunakan untuk mereka yang masih mahu membayar saman dengan diskaun tersebut.

Kaunter saman IPD dan IPK seluruh negara

Kredit gambar: Berita Harian

Kaunter-kaunter saman di Ibu Pejabat Polis Daerah dan Kontinjen di seluruh negara turut dibuka untuk menerima bayaran. Bagi memenuhi keperluan pengunjung, kaunter bayaran saman ini akan terus beroperasi termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.

Ia akan dibuka bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Pengunjung digalakkan untuk datang awal untuk mengelakkan kesesakan, selain terus mematuhi SOP dan menjaga jarak.

Bayaran secara dalam talianĀ 

Kredit gambar: MyBayar Saman

Sistem dalam talian, portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman juga boleh diakses bagi melunaskan saman tersebut. Semakan pada pagi ini menunjukkan laman web tersebut masih boleh diakses dengan baik.

Laman web MyBayar Saman boleh diakses di sini. Aplikasi bagi bayaran saman milik PDRM ini juga boleh dimuat turun di kedua-dua platform iOS dan Android.