Pelantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara bagi Manchester United amat dinanti-nantikan oleh peminat The Red Devils. Seluruh dunia bola sepak tertumpu ke Old Trafford dan lembaga pengarah Manchester United selepas Ole Gunnar Solskjaer melepaskan jawatan beliau.

Selepas persaraan Sir Alex Ferguson pada tahun 2013, belum ada pengurus baharu yang berjaya selesa berada di kerusi panas tersebut. David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho dan kini Solskjaer hanya mampu bertahan buat seketika.

Namun begitu, mungkin masih ada peminat bola sepak yang tidak mengenali Ralf Rangnick. Ini kisah perjalanan kerjaya pengurus sementara baharu Manchester United tersebut.

Sifu kepada Thomas Tuchel

Kredit gambar: Metro

Ralf Rangnick mengumumkan dirinya kepada peminat bola sepak Jerman pada akhir 1990-an sebagai pengurus pasukan liga kedua, SSV Ulm. Pendekatannya terhadap taktik, terutamanya penggunaan empat bek pertahanan, adalah radikal di Jerman pada masa itu dan menyebabkan beliau digelar sebagai “profesor bola sepak”. Gelaran yang bermula sebagai ejekan, namun akhirnya Rangnick dihormati sebagai pengurus dengan filosofi sendiri.

Selain membina kerjayanya sendiri, Rangnick turut membimbing jurulatih muda yang bercita-cita tinggi. Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel merupakan antara jurulatih yang dibimbing oleh beliau. Bimbingan Rangnick dilihat menghasilkan impak yang tinggi dan mengubah reputasi pengurus Jerman yang sebelum ini dianggap sebagai terperangkap dalam zaman kegelapan.

Pakar pemulihan kelab

Kredit gambar: Talk Sport

Rangnick merupakan pengurus yang tidak pernah diberikan tanggungjawab mengurus kelab-kelab besar. Namun begitu, beliau dianggap sebagai pakar yang mampu memulihkan prestasi kelab.

Sebagai contoh, beliau berjaya memulihkan Schalke dan Stuttgart. Dengan sokongan pemilik pula, Rangnick dilihat berjaya membina Hoffenheim dan Red Bull Leipzig, kedua-duanya bermula dari bawah.

Pada tahun 2012, Ralf Rangnick menyertai Red Bull Leipzig sebagai pengarah bola sepak. Di bawah kendaliannya, Red Bull Leipzig berjaya menembusi kejohanan bola sepak di peringkat tertinggi eropah.

Bermula sebagai kelab liga keempat, Red Bull Leipzig kini bermain di liga tertinggi Bundesliga. Ketika beliau meletakkan jawatan, nilai kelab Red Bull Leipzig juga jauh meningkat sebanyak sepuluh kali ganda, iaitu daripada €120 juta kepada €1.2 bilion.

Pelopor taktik Gegenpressing

Kredit gambar: THTP

Bola sepak berubah mengikut zaman dan perubahan tersebut berlaku dengan pantas. Perubahan ini membawa bersama taktik dan teknik yang tidak lagi sama seperti dahulu.

Ralf Rangnick merupakan individu yang bertanggungjawab mempelopori taktik Gegenpressing. Apabila pemain kehilangan bola, taktik ini akan menjadikan seluruh pasukan sebagai unit yang menekan pemain lawan secara berterusan untuk merampas semula bola.

Julian Nagelsmann, Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel, merupakan jurulatih Jerman yang diketahui menggunakan taktik ini. Kejayaan Liverpool menjulang EPL buat kali pertama juga banyak bergantung kepada pressing ini.

Semasa sesi latihan juga, Rangnick mempunyai falsafah yang berlainan dengan jurulatih yang lain. Beliau menekankan kepentingan masa, iaitu seluruh pasukan perlu merampas semula bola yang hilang dalam masa lapan saat. Rangnick percaya bahawa adalah lebih sukar untuk merampas semula bola tersebut sekiranya pasukan lawan telah menguasainya lebih dari lapan saat.

Selain itu juga, Rangnick percaya jaringan gol boleh terhasil dalam tempoh sepuluh saat selepas rampasan bola dibuat. Pada tahun 2016, pasukan kendaliannya Red Bull Leipzig hanya memerlukan purata 4.8 saat untuk merampas bola. Rekod juga menunjukkan satu percubaan terhadap gol dihasilkan dalam purata 8 saat selepas bola dirampas.

Maka, sesuatu yang istimewa dijangka akan berlaku kepada Machester United di bawah Ralf Rangnick.