Pada hari ini, terdapat seakan-akan trend bagi perniagaan yang dimulakan dari tepi jalan. Suatu ketika dahulu ia lebih tertumpu kepada penyediaan perkhidmatan seperti jahitan kasut dan jualan barangan. Namun begitu, kini perniagaan berkaitan makanan juga banyak dijual di gerai-gerai di tepi jalan.
Perniagaan makanan seperti ini sebenarnya masih lagi tertakluk kepada peraturan di bawah Akta Makanan 1983. Mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang dikuatkuasakan di bawah akta ini, pengendali makanan wajib menghadiri Latihan Pengendali Makanan.
Berikut diterangkan secara ringkas mengenai latar belakang dan peraturan bagi permohonan Latihan Pengendali Makanan.
Siapa yang perlu menghadiri kursus ini?
Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menggariskan definisi pengendali makanan seperti berikut:
- Terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan;
- Menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan; dan
- Mengendalikan makanan yang dibungkus atau tidak dibungkus, atau perkakas.
Menerusi definisi ini, dapat difahami bahawa Latihan Pengendali Makanan ini tidak hanya terhadap kepada chef, tukang masak ataupun pembantu dapur sahaja. Ia merangkumi penghidang makanan, pekerja yang membungkus, pemandu kenderaan yang menghantar makanan dan sebagainya.
Maka, kesemua pekerja ini perlu menghadiri Latihan Pengendali Makanan dan mendapatkan sijil pengesahan sebelum bekerja.
Kategori pengendali makanan
Disebabkan perbezaan antara industri yang begitu ketara di dalam penyediaan makanan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan membahagikannya kepada 18 kategori.
Berikut merupakan kategori pengendali makanan di bawah seliaan BKKM:
- Pekerja di kilang makanan;
- Kakitangan makanan dan minuman hotel;
- Restoran / kedai makan / kafe;
- Medan selera;
- Pekerja pasaraya;
- Pekerja kedai bakeri;
- Kakitangan kantin sekolah;
- Kakitangan kantin asrama;
- Kakitangan kantin IPTA / IPTS / Kolej;
- Kakitangan kantin kilang / pejabat;
- Pekerja pusat jagaan / tadika / taska;
- Kakitangan katering;
- Pengendali gerai makanan;
- Penjaja makanan;
- Pasar malam / pagi;
- Pekerja dapur hospital;
- PLKN dan;
- Peniaga Bazar Ramadhan.
Pengeluar Lesen Pengendali Makanan
Setelah mengenalpasti sektor pengendalian makanan yang diceburi, tiba masa untuk menghadiri kursus tersebut. Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengadakan kursus tersebut di bawah kendalian PBT. Sebelum pandemik Covid-19, kursus tersebut dihadiri secara fizikal.
Selepas pandemik, kursus ini masih lagi belum dianjurkan secara fizikal. Namun begitu, melalui kerjasama Kementerian Kesihatan dengan Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) swasta, ia dianjurkan secara dalam talian.
Terdapat 81 buah SLPM yang diberikan tauliah oleh KKM untuk menganjurkan kursus ini secara dalam talian. Senarai SLPM yang diiktiraf oleh KKM boleh dirujuk di laman web BKKM ini.
Peraturan dan udang-undang berkaitan pengendali makanan
Jelaslah kini pengendali makanan perlu memiliki Sijil Pengendali Makanan sebelum memulakan perniagaan mereka. Kursus tersebut adalah usaha yang diambil oleh pihak kerajaan bagi mencegah sebarang penyakit berjangkit yang mampu merebak melalui makanan atau minuman.
Selain itu, pengendali makanan juga wajib mendapatkan suntikan tifoid. Suntikan vaksin ini adalah untuk mencegah penyakit tifoid. Usaha ini tidak hanya mencegah demam kepialu, tetapi beberapa penyakit lain seperti kolera dan keracunan makanan. Mereka yang gagal mematuhi garis panduan ini boleh dikenakan denda dan boleh didakwa di mahkamah.
Kesalahan tidak memiliki Sijil Pengendali Makanan adalah kesalahan yang serius. Sekiranya didapati bersalah, anda boleh dikenakan denda tidak melebihi Sepuluh Ribu Ringgit (RM10,000) atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.