Konglomerat multinasional tertua di India, Tata Sons menjadi pemilik baharu kepada syarikat penerbangan nasional negara itu, Air India. Ia selepas syarikat gergasi itu berjaya dalam bidaan yang berjumlah 180 bilion ruppee atau RM10 bilion (USD2.4 bilion).
Penjualan penerbangan nasional itu dibuat setelah Air India tidak mampu menampung kerugian akibat tanggungan hutang yang terlalu banyak. Pemilikan Air India oleh Tata Sons ini sebenarnya amat nostalgik buat konglomerat tersebut.
Ini kisah disebalik pengambilalihan Air India oleh Tata Sons.
Air India diasaskan oleh J. R. D. Tata
Jehangir Ratanji Dadabhoy Tata merupakan Pengerusi Tata Sons yang bertanggungjawab membina Air India. Air India diasaskan pada tahun 1932 sebagai Tata Air Services.
Pada tahun 1929, J. R. D. Tata merupakan rakyat India yang pertama memiliki lesen penerbangan komersial. Melihat kepada kepentingan syarikat penerbangan untuk India, beliau mengasaskan Tata Air Services.
J. R. D. Tata juga merupakan juruterbang pertama yang menerbangkan pesawat de Havilland Puss Moth milik Tata Airlines. Penerbangan pertama tersebut membawa mel udara dari Karachi, Pakistan ke Bombay, India. Penerbangan tersebut berakhir di Chennai.
Tata Air Services mendapat kontrak menerbangkan mel udara oleh Imperial Airways, sebuah syarikat penerbangan awal milik British. Pada tahun pertama operasinya, Tata Air Services berjaya terbang sejauh 260,000 km.
Tata Air Services berkembang sebagai Tata Airlines dengan pembelian kapal terbang enam penumpang Miles Merlin. Antara destinasi awal Tata Airlines adalah Bombay ke Trivandrum, Sri Lanka dan Delhi. Semasa Perang Dunia Kedua, Tata Airlines turut membantu Royal Air Force dengan pengangkutan tentera, menghantar bekalan, menyelamatkan pelarian dan baik pulih pesawat.
Pengambilalihan Tata Airlines oleh kerajaan
Tata Airlines berkembang sebagai sebuah syarikat awam selepas Perang Dunia Kedua. Namun begitu, kerajaan India berhasrat untuk memiliknegarakan syarikat tersebut selepas kemerdekaan India.
Sebanyak 49 peratus pegangan Tata Airlines telah diambilalih oleh kerajaan selepas kemerdekaan India. Syarikat Tata Airlines juga bertukar nama sebagai Air India.
Proses pengambilalihan selesai pada tahun 1953 apabila Air Corporations Act diluluskan oleh parlimen India. Biarpun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, J. R. D. Tata akhirnya akur dengan menjual baki pegangan beliau kepada kerajaan. Air India akhirnya menjadi milik penuh negara.
Kerugian Air India dan penswastaan
Air India pantas mendominasi penerbangan antarabangsa di Asia. Sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, Air India memiliki dana yang cukup untuk memasuki era jet.
Pembelian jet Boeing 707-420 pada tahun 1960 sudah cukup membuktikannya. Air India merupakan syarikat penerbangan pertama di Asia yang memiliki jet mereka sendiri. Dua tahun kemudian, Air India merupakan satu-satunya syarikat penerbangan di dunia yang hanya beroperasi dengan menggunakan jet.
Namun begitu, penggabungan dengan Indian Airlines dan pengoperasian yang salah selepas tahun 2000 mengubah segalanya. Air India mula dibebani hutang yang tinggi dan acapkali memerlukan kepada suntikan dana kerajaan.
Antara tahun 2001 hingga 2017, Air India beroperasi di dalam kerugian. Akhirnya kerajaan India mengalah untuk kembali menswastakan syarikat negara tersebut. Pandemik menambah lagi kerugian Air India dan pada tahun ini, satu bidaan telah dibuka untuk penjualan Air India.
Dua syarikat gergasi India iaitu Tata Sons dan Spice Jets menunjukkan minat untuk membeli. Tata Sons memenangi bidaan tersebut dengan nilai USD2.4 bilion, iaitu USD0.4 bilion lebih tinggi dari bidaan Spice Jets.
Air India akhirnya kembali ke dalam Tata Sons, syarikat yang mengasaskannya 88 tahun lalu.