Tinjauan bertajuk National Health And Morbidity Survey yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2017 menyatakan bahawa setiap seorang daripada lima dewasa di Malaysia mengalami masalah kemurungan. Dua daripada lima orang dewasa di Malaysia mengalami isu kebimbangan, manakala 11.2 peratus berniat untuk membunuh diri, dan 10.2 peratus pernah membuat percubaan untuk membunuh diri.

Bebanan hutang yang tinggi selepas hilang pekerjaan dan masalah keluarga menjadi punca utama seseorang nekad meragut nyawanya sendiri sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19. Berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober tahun lalu.

Kes-kes ini berlaku sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan di seluruh negara. Secara puratanya, lebih 30 orang membunuh diri sebulan atau seorang setiap hari, sepanjang tempoh berkenaan.

1 – Pada waktu kecemasan

Kredit gambar: https://www.nytimes.com/2016/11/08/well/live/after-a-suicide-attempt-the-risk-of-another-try.html

Sekiranya anda atau seseorang yang dikenali cuba atau ingin cuba untuk membunuh diri, boleh bergegas ke unit Kecemasan di hospital yang berdekatan, hubungi polis atau ambulans atau bomba di 999 atau 112, atau hubungi talian Befrienders di 03-7956 8144 atau 03-7956 8145.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri Pemanggil boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders. Semua perbualan adalah rahsia.

Melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan lapan syarikat pengendali telekomunikasi, panggilan ke talian pusat sokongan emosi cegah bunuh diri Befrienders adalah percuma bermula dari tarikh 1 Ogos 2019.

2 – Membawa diri untuk berjumpa dengan kaunselor terlatih

kredit gambar: https://www.clearinsightcounselling.co.uk/blog/archives/02-2017

Langkah pertama yang perlu diambil sekiranya anda mempunyai kemurungan dan kecenderungan untuk membunuh diri adalah dengan mengakui bahawa anda mungkin mempunyai masalah dengan kesihatan mental. Kemudiannya, atur pertemuan bersama kaunselor terlatih yang berdekatan dengan anda.

Kaunselor profesional pertama yang anda boleh dekati ialah kaunselor di sekolah, universiti ataupun di tempat kerja anda. Anda boleh menceritakan kepada mereka tentang masalah yang anda hadapi dan bertanyakan tentang langkah-langkah selanjutnya yang perlu diambil.

3 – Berjumpa dengan pakar psikiatri di hospital

Anda boleh berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan kerajaan bagi mendapat konsultasi dan pemeriksaan. Jangan risau tentang bayaran, anda hanya akan diminta untuk membayar RM1 sahaja untuk perkhidmatan di sana kelak.

Pada kebiasaannya anda akan diminta untuk mengambil ujian saringan minda. Jangan risaukan tentang persediaan-persediaan lain, asalkan anda hadir secara sukarela dan mempunyai fikiran yang terbuka, sudah tentu anda boleh melaluinya dengan baik.

Sekiranya anda ingin berjumpa dengan pakar psikiatri, sila minta doktor untuk menyediakan surat rujukan untuk di bawa ke hospital terdekat yang mempunyai unit psikiatri dan kesihatan mental. Di sana, anda boleh mendapatkan rawatan selanjutnya seperti perkhidmatan kaunseling, terapi dan perubatan. Sekali lagi, anda tidak perlu risau tentang bayaran, hanya RM5 dikenakan bagi setiap sesi tersebut.

Apa yang penting, langkah-langkah yang anda ambil ini adalah betul dan tepat. Jangan sesekali biarkan diri anda merasa sunyi dan sentiasa keseorangan. Semoga langkah-langkah ini dapat membantu kesihatan mental kita ke arah yang lebih baik.

 

Sumber: