Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian kredit eWallet bernilai RM50 beserta diskaun dan pulangan wang tunai (cashback) sebanyak RM50.
Insentif ini diumumkan sebagai salah satu inisiatif ePenjana yang bernilai RM750 juta dan bakal dimanfaatkan oleh 15 juta rakyat Malaysia.
Bagaimanapun menurut kenyataan Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk menerima inisiatif ini, rakyat Malaysia perlu memuat aplikasi MySejahtera terlebih dahulu.
Menurut Ismail, ketetapan ini dibuat untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memuat turun aplikasi MySejahtera. MySejatera merupakan aplikasi yang dapat membantu Kementeria Kesihatan (KKM) membendung penularan wabak COVID-19.
Ia juga dapat mengesan kontak di premis perniagaan melalui kod QR.
Kredit RM50 tersebut dijangka akan mula disalur kepada akaun eWallet yang sudah diverifikasi bermula 1 Julai akan datang.
Inisiatif ini hanya layak untuk rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas, dan mempunyai pendapatan tahunan kurang RM100,000 setahun.
Berbeza dengan program eTunai Rakyat yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, kredit eWallet RM50 ini hanya boleh digunakan untuk pembelian di kedai bukan dalam talian (offline).
Ini bermakna penerima hanya boleh menggunakannya untuk membayar barang di kedai fizikal yang menawarkan mod pembayaran melalui aplikasi eWallet. Penerima tidak boleh menggunakannya untuk membuat pembelian dalam talian (online) seperti di Shopee, Lazada, Grab dan Boost.
Aplikasi MySejahtera boleh dimuat turun di Google Play Store, Apple AppStore dan Huawei AppGallery.