Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan akan memulakan perolehan lebih banyak unit kenderaan ambulans tekanan negatif (negative pressure ambulance) bagi membawa pesakit Covid-19 ke pusat rawatan. Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, ambulans tekanan negatif itu merupakan keperluan penting terutama di lokasi yang mempunyai kes jangkitan tinggi.

KKM dilaporkan akan memulakan tender bagi membeli 500 ambulans ini. Manakala bagi pembelian ambulans lain pula, KKM akan menggunakan sistem ‘leasing’ mengikut zon agar isu logistik pesakit Covid-19 dapat diatasi di seluruh negara.

Ciri-ciri ambulans tekanan negatif

Kredit gambar: https://weststarmaxus.com/v80_Customize.php

Ambulans tekanan negatif yang pertama di Malaysia telah dilancarkan oleh Weststar Maxus Sdn Bhd, pengedar tunggal Maxus V80. Ambulans ini menawarkan perlindungan dua tahap kepada petugas baris hadapan dan responder pertama, di mana tekanan udara di dalam kabin dikekalkan di bawah tekanan barometrik persekitaran.

Ambulans ini dilengkapi dengan sistem tekanan negatif, penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutamanya jenis penyakit bawaan udara. Sistem penapisan HEPA dan lampu UV dapat membersihkan udara dan dalam masa sama dapat memerangkap virus daripada merebak.

Secara dasarnya, kabin ambulans akan bertukar menjadi ruang tertutup kedap udara dan hanya udara bersih dari luar sahaja yang dibenarkan memasuki ruang kabin. Manakala udara di dalam kabin hanya akan dilepaskan setelah ambulans tersebut melalui alat pembersih tekanan negatif bio-keselamatan yang menggunakan lampu ultraungu untuk menjalankan proses disinfektasi secara automatik.

Kredit gambar: https://weststarmaxus.com/v80_Customize.php

Sementara pesakit pula akan diangkut di dalam ruang pengasingan yang diletakkan di atas katil usung, serta turut dilengkapi dengan sistem penapisan tekanan negatif untuk menghalang dan mengurangkan risiko jangkitan kepada staff perubatan. Ruang pengasingan ini dibuat daripada filem TPU khas dan diperkuat dengan tiang ABS pada setiap sudut struktur itu.

Ia juga mempunyai sistem zip menyeluruh dan ruang portal sarung tangan terbina pada kedua-dua belah yang memudahkan petugas perubatan untuk merawat pesakit. Kabin ambulans dan ruang pengasingan pesakit itu telah dipasang dengan sistem keselamatan yang mampu memberikan amaran kepada petugas perubatan sekiranya berlaku kebocoran udara sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Ambulans tekanan negatif pertama di MAEPS Selangor

Kredit gambar: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia 

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor merupakan pemilik kepada ambulans tekanan negatif pertama di Malaysia dengan ciri-ciri khas bagi memindahkan pesakit Covid-19 dengan lebih selamat ke PKRC MAEPS, Serdang.

Ambulans yang telah diuji dan terbukti dalam menangani penyebaran virus Covid-19 di Wuhan, China sebelum ini, turut dilengkapi kelengkapan seperti pod isolasi (isopod) dan pengusung khas yang bukan sahaja dapat menjaga pesakit, malah melindungi petugas perubatan yang mengendalikannya.

Majlis perasmian penyerahan van ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), MAEPS Serdang.

Kritikan atas kos perolehan yang tinggi

Kredit gambar: https://soyacincau.com/2020/12/12/selangor-covid-19-cases-may-rise-dzulkefly-ahmad-aggressive-testing/

Perolehan 500 buah ambulans tekanan negatif ini bagaimanapun menerima kritikan dari mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Beliau mempersoal kepentingan pembelian 500 unit ambulans tekanan negatif dalam pelaksanaan darurat ketika ini.

Menurut beliau, pembelian ambulans itu menelan kos yang tinggi mencecah RM300 juta sedangkan petugas kesihatan pula dalam pakaian peralatan perlindungan diri (PPE). Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah memikirkan cara menurunkan angka kematian akibat Covid-19.

Kritikan sama turut diberikan oleh seorang Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah. Menurut beliau, KKM tidak perlu membeli ambulans tekanan negatif yang menurut pandangan beliau sangat mahal.

Malah kakitangan KKM juga memakai PPE di dalam ambulans terbabit. Menurut beliau lagi, masih ada keperluan mendesak seperti pengubahsuaian wad-wad di hospital dengan keperluan kepada HEPA filter. Staf-staf perubatan di hospital yang merawat pesakit Covid-19 lebih berisiko tinggi kerana kurangnya keperluan penting ini.