Setiap tahun, ribuan pelancong dari seluruh pelosok dunia berduyun-duyun melawat ke landasan dan jambatan Kereta Api Maut yang menyeberangi Sungai Kwai, di wilayah barat Kanchanaburi, di sini.

Namun, mungkin tidak ramai yang mengetahui kisah pahit di sebalik sejarah pembinaan landasan yang cukup popular di seluruh dunia itu.

Tatkala, kereta api melalui landasan ikonik itu, pelancong pastinya teruja untuk merakam gambar dari atas Landasan Kereta Api Maut itu menerusi lensa kamera mahupun telefon bimbit. Jambatan ini turut pernah diabadikan dalam filem Hollywood, The Bridge on the River Kwai yang diterbitkan oleh David Lean pada 1957.

Embed from Getty Images

Hakikatnya, ramai yang tidak menyedari bahawa lebih 100,000 tahanan perang dan buruh paksa dari Asia terkorban untuk menyiap dan membina landasan kereta api berkenaan.

Landasan kereta api sepanjang 415 kilometer yang menghubungkan Thailand-Burma, dibina agak sikat iaitu selama 16 bulan, semasa Perang Dunia Kedua antara tahun 1942 dan 1943, sebagai sebahagian rancangan Jepun untuk menawan India.

Menariknya, sebahagian 130km landasan berusia hampir 80 tahun yang merentasi Thailand masih digunakan dan beroperasi sehingga hari ini.

Yang pasti, masih ramai yang tidak tahu akan keperitan, penderitaan dan kesengsaraan yang ditanggung kira-kira 200,000 hingga 300,000  buruh paksa dan tawanan perang (PoWs) (jumlahnya tidak dapat dipastikan) daripada kalangan tentera Bersekutu dan buruh dari Asia, yang dikenali sebagai romusha dalam bahasa Jepun.

Dianggarkan seramai 12,800 PoWs dan kira-kira 100,000 buruh paksa dari Asia terkorban akibat kelaparan, penyakit atau diseksa hingga mati kerana dipaksa bekerja membina landasan kereta api yang mendapat nama julukan sebagai ‘Death Railway’ atau Landasan Kereta Api Maut yang merentasi Ban Pong di Thailand hingga ke Thanbyuzayat di Myanmar (ketika itu dikenali sebagai Burma).

Sebilangan besar PoWs yang terkorban juga dikebumikan di dua Tanah Perkuburan perang di Kanchanaburi iaitu Perkuburan Perang Kanchanaburi (juga dikenali sebagai perkuburan Don Rak) dan Tanah Perkuburan Chungkai.

Buruh dari Asia yang terkorban ketika proses pembinaan landasan berkenaan merangkumi orang Melayu, Cina, India, Jawa dan Myanmar. Mayat mereka dihumban ke dalam kubur besar di sepanjang landasan kereta api berkenaan.

Ironinya, disebalik pengorbanan buruh dan mangsa yang menemui ajal bagi membina landasan kereta api itu, sehingga hari ini, tiada sebarang pengiktirafan diberikan kepada mereka.

Seorang daripada mangsa dan buruh landasan maut dari Tanah Melayu ialah Perumal Ramasamy yang telah terpikat dengan janji manis untuk bekerja dengan Jepun di Thailand untuk membina landasan kereta api itu, demikian menurut anak mendiang, Dr Silva Kumar, 60.

“Masalah penderitaan buruh paksa dari Asia yang menyumbang dalam membantu tentera Jepun membina Death Railway dalam keadaan penuh kesengsaraan telah lama dilupakan.

“Maka, sudah tiba masanya bagi buruh dari Asia yang menderita kerana membina dan menyiapkan landasan kereta api berkenaan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Pengorbanan mereka harus dihargai.

“Mereka bukannya minta dibayar pampasan. Namun, mereka hanya mahukan pengiktirafan,” kata Silva Kumar yang bekerja di Bangkok selama lebih 25 tahun.

Menurut Silva Kumar, bapanya yang bertugas sebagai tukang masak telah kembali ke Taiping, Perak, setelah peperangan tamat.

Katanya, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Death Railway Interest Group (DRIG) yang memperjuangkan untuk mengiktiraf pekerja dan buruh paksa dari Asia; Persekutuan Tamil Thailand dan Sanggam Tamil Thailand merancang untuk mendirikan sebuah tugu menjelang 2021.

“Kami berharap dua buruh paksa yang masih hidup dari Malaysia akan dapat menyertai kami sempena majlis khas itu,” katanya.

Pengerusi DRIG P. Chandrasegar, rakyat Malaysia dan menetap di Malaysia berkata impian mereka ialah untuk membina tugu bagi mengenang, menghormati dan menghargai jasa serta keperitan yang dilalui oleh semua buruh dari Asia.

“Dianggarkan kira-kira 100,000 buruh dari Asia telah terkorban ketika bekerja membina landasan kereta api berkenaan. Mereka dikebumikan di kuburan besar yang tidak bertanda. Kita pula, tidak berusaha melakukan sesuatu bagi menghargai mangsa. Kami berharap sebuah tugu dibina bagi memperingati peristiwa hitam itu.

“Ini seharusnya menjadi inisiatif antara kerajaan dengan kerajaan (G2G). Kami berharap kerajaan Malaysia akan berunding dengan rakannya dari Thailand.

“Malaysia (Tanah Melayu ketika itu) adalah penyumbang terbesar tenaga buruh ketika zaman itu. Kita mesti mengetuai usaha ini. Tugu ini bukan sekadar untuk memperingati buruh paksa dari Malaysia malah ia untuk semua buruh dari Asia. Kita harus menjadi inklusif,” katanya.

Chandrasegar, yang mendiang ayahnya bekerja sebagai pembantu lokomotif di landasan kereta api berkenaan ketika zaman itu berkata, mereka merancang mendirikan tugu di daerah Sai Yok di Provinsi Kanchanaburi.

Sementara itu, Ketua Cabang Royal British Legion (RBL) Chonburi Profesor Andy Barraclough berpendapat seharusnya ada suatu tanda peringatan bagi mengenang jasa dan pengorbanan buruh dari Asia yang menyumbang tenaga bagi membina dan menyiapkan landasan kereta api itu.

Terdapat dua tanah perkuburan perang untuk PoWs di Kanchanaburi selain beberapa kuburan besar buruh-buruh paksa, di sekitar bandar ini yang tidak diketahui atau dikenali.

 “Sudah tentu, mereka (buruh paksa dari Asia) harus mendapat pengiktifaran,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: