“Berpantang maut sebelum ajal.”
Agensi berita Korea Utara (KCNA) memaklumkan pada Sabtu (2 Mei 2020), pemimpin agung negara itu Kim Jong Un menghadiri perasmian kilang baja di wilayah utara ibu kota, Pyongyang, sekaligus menepis spekulasi kematiannya sejak 11 April lalu.
Kim dilaporkan menghadiri upacara tersebut pada Jumaat dan semua yang berada di situ dikatakan ‘bersorak’ ketika beliau muncul secara mengejut di hadapan ramai, menurut laporan KCNA.
Beliau kemudiannya memeriksa fasiliti di kilang tersebut dan diberikan penjelasan mengenai proses pengeluaran, kata laporan tersebut.
Namun, menurut agensi berita antarabangsa, Reuters, mengatakan bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan laporan KCNA secara bebas.
Sebelum ini, terdapat spekulasi mengenai keadaan kesihatannya selepas Kim tidak menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran pengasas negara, Kim II-Sung pada 15 April lalu.
Hari tersebut merupakan cuti umum utama di Korea Utara dan Kim kebiasaanya setiap tahun sebagai pemimpin melakukan lawatan ke makam di mana datuknya itu disemadikan.
Laporan oleh Daily NK, sebuah portal media di Korea Selatan turut melaporkan Kim sedang menjalani rawatan selepas melakukan prosedur kardiovaskular pada bulan lalu.
CNN juga melaporkan bahawa Washington yang memantau secara risikan berkata bahawa Kim berada dalam ‘bahaya besar’ setelah menjalani pembedahan, memetik laporan seorang pegawai di Amerika Syarikat (AS).
Setelah itu, Presiden AS, Donald Trumph, muncul untuk mengesahkan pada awal minggu ini bahawa Kim masih hidup tetapi enggan untuk untuk mengulas mengenai kemunculan Kim pada Jumaat seperti yang dilaporkan KCNA.
Pada 2014, Kim pernah dilaporkan ‘hilang’ selama hampir enam minggu sebelum membuat kemunculan semula dalam keadaan bertongkat.
Baca juga artikel lain yang mungkin menarik bagi anda: