Perkataan Nobat ini sebenarnya berasal dari Parsi. Di sana, perkataan “Naubat” membawa maksud bermakna sembilan jenis. Nobat yang difahami oleh masyarakat tempatan bermaksud pasukan pancaragam diraja yang telah dipakai sejak zaman-berzaman.
Ada sesetengah berpendapat bahawa Nobat sepatutnya disebut sebagai “Nao-bat”. Istilah ini pula dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit yang juga membawa maksud penggabungan sembilan alat muzik.
Biarpun terdapat sembilan buah negeri-negeri Melayu di Semenanjung Malaysia, bukan semua negeri mempunyai nobat. Bagi melaksanakan istiadat pertabalan, hanya negeri Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor memiliki nobat mereka yang tersendiri.
Bagaimanapun begitu, iringan nobat juga dimainkan semasa pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Nobat berbeza mengikut negeri
Bagi nobat Terengganu, ia mempunyai enam peralatan yang telah berusia 103 tahun. Setiap alatan tersebut mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri malah telah bergema mengalunkan muzik istana sejak 1920.
Peralatan berkenaan ialah sebuah gendang ibu, gendang anak, gendang saku atau nahara, nafiri (serunai besar), serunai dan sepasang kopak-kopak. Pada bahagian nafiri dan peralatan lain ada ukiran kecil dengan tulisan Jawi tertera 1338H. Antara alat muzik itu ada yang diperbuat daripada perak dan tembaga.
Bagi negeri Perak pula, nobat mula dimainkan sejak zaman kesultanan Sultan Muzaffar Shah. Istimewanya, nobat termasuk sebagai salah satu daripada 19 alat kebesaran diraja negeri Perak.
Mengikut adat negeri Perak, nobat mula dimainkan dengan tiupan nafiri yang disusuli tiupan serunai, pukulan gendang nengkara, gendang nobat dan gendang penengkah. Ketua kumpulan ini dikenali sebagai Toh Setia Guna, manakala pembantunya Toh Setia Indera
Alatan nobat ini hanya boleh dimainkan oleh beberapa orang pemuzik yang dipilih khas dalam satu keturunan keluarga sahaja. Mereka dikenali sebagai ‘orang kalur’. Oleh kerana Sultan Muzaffar Shah III dari Perak mengesahkan pelantikan Raja Lumu sebagai Sultan Salehuddin Shah, nobat turut dijadikan sebagai alat diraja Selangor.
Alat-alat muzik yang digunakan dalam Nobat Diraja Kedah pula terdiri daripada enam jenis alatan. Ia termasuklah Serunai, Nafiri, Gendang Ibu, Gendang Anak dan Gong.
Satu lagi alatan yang digunakan ialah Mahaguru atau dikenali juga sebagai Semambu iaitu sebatang rotan semambu yang dijadikan lambang mohor atau cokmar yang menjadi simbol kekuasaan Raja. Rotan sepanjang 1.77 meter ini dibalut dengan kain kuning.
Ia akan dipegang oleh Penghulu Nobat menghadap kumpulannya ketika permainan Nobat dipersembahkan.
Lagu-lagu nobat
Perkara yang sangat unik tentang nobat ialah alunan muziknya tidak mempunyai nota lagu yang khusus. Tidak seperti kumpulan pancaragam moden, alunan irama nobat ini hanya diingati dalam minda. Bagi negeri Perak, terdapat 16 rentak dalam alunan muzik nobat.
Antara 16 rentak tersebut, yang biasa dimainkan hanya beberapa rentak. Sebagai contoh seperti Gendang Berangkat, khusus ketika Sultan berangkat keluar masuk majlis istiadat. Irama Nobat Tabal dimainkan semasa majlis pertabalan Sultan. Selain itu, irama Puteri Mandi Mayang dimainkan ketika Sultan bersiram tabal di Panca Persada dan Lenggang Che Kobat.
Istimewanya nobat di negeri Perak turut akan dibunyikan pada hari kebesaran Islam. Ini termasuklah tiga hari sebelum umat Islam berpuasa, enam hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri, dan tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha. Tidak ketinggalan, pada pagi hari pertama Aidilfitri, nobat akan dimainkan bagi mengiringi Sultan yang akan bersembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Ketika Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, terdapat tiga lagu nobat yang dimainkan. Lagu Raja Berangkat dialunkan semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairung Seri.
Irama Menjunjung Duli dimainkan semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairung Seri. Kemudiannya lagu Raja Bertabal selepas Seri Paduka Baginda mengangkat Sumpah Diraja.
Lagu Raja Berangkat sekali lagi dialunkan apabila Seri Paduka Baginda berdua berangkat pulang dari Balairung Seri.