Esok, genap 28 hari negara kita berada di dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh 3.0. Bermula dari 1 Jun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 7,105 kes Covid-19 dan setakat semalam 26 Jun, kes yang dilaporkan adalah sebanyak 5,803. Jumlah ini sebenarnya masih jauh daripada sasaran untuk kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ke fasa 2 yang memerlukan kes positif harian pada kadar 4,000 kes secara purata.

Jangkaan bahawa ia boleh dicapai pada awal Julai nampaknya masih meleset. Dan saban hari, kita akan terus melihat satu demi satu perniagaan yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu lagi menangung kos-kos operasi sepanjang tempoh PKP.

Kesan terhadap industri peruncitan Bumiputera

Kredit gambar: https://rojakdaily.com/news/article/6238/mydin-supermarkets-will-no-longer-sell-plastic-straws-starting-june-2019

Paling mengejutkan sekali adalah laporan oleh Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin yang memaklumkan sebenarnya majoriti peniaga-peniaga sektor peruncitan di negara ini terutama peniaga Melayu sudah ‘hampir mati’ selepas kerajaan melaksanakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Keadaan menjadi getir, sukar dan meruncing apabila kerajaan tidak melaksanakan moratorium automatik bagi segmen pembiayaan kepada semua jenis perniagaan.

Datuk Ameer Ali Mydin juga mendakwa kerajaan sebenarnya tidak mengetahui keadaan sebenar peniaga-peniaga yang sudah habis daya untuk menyelamatkan perniagaan masing-masing. Menurut beliau lagi, Kementerian Kewangan memaklumkan institusi perbankan tidak boleh memberi moratorium secara automatik sebaliknya perlu melakukan permohonan, hakikatnya prosesnya amat sukar.

Tambah beliau, keruntuhan sektor perniagaan negara bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh kerajaaan kerana sejak PKP penuh ini seramai 20 peratus pekerja sudah dibuang, menjelang Julai nanti mungkin bertambah kepada 30 peratus dan 50 peratus pada Ogos nanti.

Lebih daripada itu, apabila banyak perniagaan mikro, kecil dan sederhana runtuh bermakna negara gagal dalam melaksanakan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera yang dibangunkan lebih 60 tahun lalu. Jangkaan dari dapatan beliau menunjukkan bahawa sebanyak 500,000 pekerjaan dijangka hilang sekiranya kerajaan menyambung PKP penuh ini untuk tempoh sebulan lagi.

Laporan yang diterima oleh beliau menunjukkan perniagaan di pusat-pusat beli-belah juga menjunam sebanyak 95 peratus. Manakala baki 5 peratus hanya disebabkan masih ada kedai yang boleh membeli melalui dalam talian. Untuk sektor makanan dan minuman pula, perniagaan dilaporkan mengalami penyusutan antara 15 hingga 29 peratus. Maka tegas beliau, institusi perbankan sewajarnya memberi pertimbangan moratorium automatik bagi semua pembiayaan termasuk perniagaa mikro, kecil, sederhana dan besar kerana kesan Covid-19 berantai.

80 peratus perniagaan tidak mampu bertahan

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/822898/bhplus

Gabungan 112 persatuan perdagangan dan perniagaan tempatan yang mewakili 3.3 juta entiti perniagaan dikenali sebagai ‘Industries Unite’ pula meminta lebih banyak bantuan kewangan disalurkan bagi membantu anggotanya yang disifatkan ‘parah’ untuk stabil dan pulih.

Menurut Industries Unite, sebanyak hampir 80 peratus ahli-ahli kumpulan tersebut tidak lagi boleh bertahan dan memenuhi kewajipan kewangan mereka. Setakat ini, hampir 40 peratus sudah gulung tikar dan 20 peratus dijangka hanya mampu bertahan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

Antara bantuan yang dipohon melibatkan pengurangan bil elektrik bagi premis komersil serta penangguhan enam bulan terhadap bayaran caruman mandatori seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kumpulan berkenaan juga merayu agar moratorium automatik untuk perniagaan dan individu secara opt-out, serta pelepasan sewa premis perniagaan.

Jelas pengasas bersama kumpulan berkenaan, Datuk David Gurupatham sektor perniagaan tidak akan mampu bertahan jika sekatan yang dilaksanakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini diteruskan sehingga hujung tahun.

Peniaga kedai gunting rambut terpaksa meminjam dari ceti

Kredit gambar: https://100comments.com/malay/10-salun-rawatan-rambut-muslimah-sekitar-lembah-klang/

Tidak menghairankan apabila pengusaha kedai gunting rambut dilaporkan terpaksa meminjam dengan ceti haram selain mengalami tekanan. Itu antara derita ditanggung segelintir peniaga kecil susulan penutupan sektor ekonomi. Mereka yang bergantung kepada pendapatan harian didakwa hilang arah apabila masih tidak dibenarkan beroperasi, apatah lagi wang simpanan semakin habis digunakan demi kelangsungan hidup.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, TN Winda Mohd Tahir berkata, pihaknya ada menerima laporan terdapat ahlinya yang didakwa terpaksa meminjam daripada peminjam wang tidak berlesen sejak akhir-akhir ini. Tindakan tersebut terpaksa dilakukan kerana kehabisan wang untuk membeli keperluan harian, selain membayar komitmen bulanan seperti sewa kedai dan pinjaman.

Winda berharap kerajaan mempertimbang untuk perniagaan kecil seperti mereka beroperasi demi kelangsungan dan tidak terus terjerat dengan hutang termasuk pembiayaan daripada sumber meragukan. Menurut beliau lagi, apa saja prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pasti akan dipatuhi, asalkan dapat beroperasi semula. Penutupan industri kecil seperti kedai gunting rambut mendapat bantahan kerana belum pernah ada kluster dilaporkan bermula dari perniagaan tersebut.

Satu demi satu kedai mamak gulung tikar

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/02/420748/restoran-saya-diboikot

Selain peniaga kecil, pengusaha yang lebih besar juga menghadapi masalah, terutama di kawasan komersial. Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Jawahar Ali Taib Khan berkata, pendapatan berkurang kerana restoran secara umumnya melayani pelanggan secara ‘dine-in’. Kira-kira 500 daripada 12,500 anggota kami telah menutup perniagaan sejak pandemik bermula.

Secara puratanya, ahli persatuan tersebut kini terpaksa menutup satu kedai setiap hari sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan sejak tahun lalu. Perniagaan terpaksa ditutup kerana mereka tidak dapat menguruskan bayaran sewa dan gagal mendapatkan pinjaman. Menurut beliau lagi, PRESMA menjangkakan lebih ramai anggotanya akan gulung tikar pada akhir tahun ini, terutama restoran di kawasan utama di mana sewa menjadi satu masalah buat mereka.

Setakat ini, dari perniagaan kecil hingga besar nampaknya semua tidak terlepas dari kesan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh 3.0 ini. Dan sekiranya angka kes pada minggu ini diambil sebagai kayu ukur, pada hari ini nampaknya PKP 3.0 akan terus disambung.