Jika anda merupakan pelabur emas, anda pasti mensyukuri tahun 2020. Ketika ramai orang mengalami kesan kemelesetan ekonomi akibat penularan wabak COVID-19, pelabur emas mungkin boleh senyum sedikit kerana harga komoditi tersebut semakin naik saban hari.

Ketika pelabur-pelabur saham sedang pasrah dengan kerugian, pelabur emas sekarang sedang menikmati kenaikan harga sebanyak lebih 11% berbanding tahun 2019.

Ketika artikel ini sedang ditulis, harga emas adalah RM236 per gram. Kali terakhir harga emas setinggi sekarang adalah pada tahun 2011. Harga emas tertinggi pernah direkodkan adalah sebanyak RM264 pada September 2011.

Persoalannya sekarang: mengapa harga emas naik ketika wabak COVID-19 sekarang? Kenapa harga emas cenderung untuk naik ketika zaman kemelesetan ekonomi?

Emas komoditi paling stabil

Secara asasnya, emas sudah lama dianggap sebagai pelaburan yang selamat. “Pelaburan selamat dicari-cari oleh pelabur untuk mengehadkan kerugian mereka ketika berlakunya ketidaktentuan ekonomi,” tulis Investopedia.

Turun naik dalam dunia pelaburan emas sememangany sudah dijangka. Tetapi ketika berlakunya kemelesetan ekonomi, barulah kita akan nampak kenaikan harga emas yang lebih signifikan.

Dalam ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh wabak COVID-19 sekarang, pelabur semakin berhati-hati dengan prospek ia akan berlanjutan lebih lama di peringkat global.

Malah pakar ekonomi menjangkakan harga emas boleh naik setinggi harga rekod pada September 2011 (RM264 per gram) jika wabak COVID-19 berlanjutan lebih lama.

Ketika ketidaktentuan ekonomi inilah pelabur-pelabur akan memindahkan duit mereka dari portfolio pelaburan yang bergolak ke portfolio pelaburan yang lebih selamat seperti emas.

Dan seperti yang kita tahu, apabila permintaan emas semakin tinggi, maka semakin tinggilah harganya.

Bagaimanapun tak semua pelabur akan melabur dalam emas ketika waktu kemelesetan ekonomi.

“Emas adalah pilihan pelabur yang old school,” jelas Ahmad Shakir, pelabur aktif sejak 10 tahun lepas. “Ketika ini ramai pelabur yang muda-muda lebih sukakan Bitcoin berbanding emas.”

Sama ada emas atau Bitcoin, kedua-dua komoditi ini mempunyai satu persamaan.

“Bitcoin dan emas cenderung untuk dilabur oleh pelabur yang tak sukakan pelaburan mata wang.”

“Kalau anda jenis pelabur yang tak percaya dengan kerajaan, cakap semua kerajaan adalah korup dan sebagainya, anda akan cari pelaburan yang bebas daripada kawalan kerajaan seperti Bitcoin dan emas.”

Selain faktor ekonomi, harga emas juga dipengaruhi oleh situasi politik. Sebagai contoh, harga emas naik ke paras tertinggi dalam masa tujuh tahun selepas Amerika Syarikat membunuh Ketua Komander Tentera Iran, Qasem Soleimani.

Ketika ini para penganalisis politik menjangkakan akan berlakunya ‘Perang Dunia Ketiga’ antara Iran dengan Amerika Syarikat. Seperti yang kita tahu, apabila berlakunya perang, ekonomi dunia akan merudum. Sebab itulah harga emas naik.

Selain itu, kenaikan kadar faedah dan kadar inflasi juga memainkan peranan penting mengapa harga emas naik.

Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda:

Sumber: