Pernah tak anda tertanya-tanya – patutkah anda tutup pintu bilik atau biarkan dibuka semasa tidur di bilik anda pada waktu malam?
Adakah anda tidur dengan pintu bilik ditutup atau dibuka?
Kajian menunjukkan lebih separuh orang tidur malam dengan pintu bilik terbuka. Tahukah anda tidur malam dengan pintu bilik terbuka boleh mengorbankan nyawa anda jika ada kebakaran?
Apabila tidur malam, anda sepatutnya sentiasa tutup pintu bilik.
Bilik yang pintunya tertutup dapat melambatkan perebakan api, merendahkan suhu, mengurangkan kebarangkalian anda terhidu asap dan memperbaiki tahap oksigen di bilik anda.
Inilah yang terjadi kepada seorang mangsa kebakaran yang terselamat dalam video di bawah:
Jika anda tak tutup pintu bilik semasa tidur malam, dikhuatiri nyawa anda akan terancam apabila berlaku kebakaran kerana kewujudan barang-barang perabot sintetik boleh menyebabkan api marak dengan cepat.
Tutup pintu bilik pada waktu malam
Statistik menunjukkan secara purata bomba mengambil masa kira-kira 5 minit untuk sampai ke rumah apabila berlakunya kebakaran.
Dengan majoriti perabot kita di rumah diperbuat daripada bahan-bahan sintetik yang mudah terbakar, ditambah pula dengan pelan kebanyakan rumah sekarang yang terbuka, api boleh merebak dengan cepat.
Bagaimanapun dengan menutup pintu bilik anda semasa tidur, ia dapat memberi anda sedikit masa untuk keluar dari bilik melalui tingkap dan menghubungi bomba.
Perlu diingat, mencegah lebih baik daripada merawat.
Untuk betul-betul mengelakkan kebakaran di rumah, pastikan anda memadam lilin sebelum tidur (jika menggunakan lilin), memadam suis elektrik dan dapur selepas habis guna, memeriksa dan menyelenggara penggera kebakaran.
Pastikan anda menggunakan akal dan mempunyai pelan keluar rumah jika berlaku kebakaran. Pastikan semua ahli rumah tahu mengenainya juga.
Bomba sarankan supaya pintu bilik ditutup semasa tidur
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sesetengah keluarga lebih suka membiarkan pintu bilik tidur anaknya didalam keadaan terbuka semasa anaknya tidur pada waktu malam. Alasannya agar mereka dapat mendengar suara anak mereka.
“Pintu yang terbuka akan mempercepatkan api, asap dan haba merebak kedalam bilik-bilik tersebut sekiranya berlaku kebakaran. Oleh yang demikian adalah digalakkan supaya anda menutup pintu semua bilik agar anda mempunyai lebih masa untuk menyelamatkan diri.
Pihak bomba turut memberi beberapa tips dan nasihat untuk menyelamatkan diri apabila anda terperangkap dalam bilik yang tertutup pintunya.
“Apabila hendak membuka pintu ruang yang terbakar, anda anda akan terdedah kepada bahaya daripada haba, asap dan lidah api yang boleh mendatangkan kecelakaan.
“Sekiranya anda terperangkap di dalam bilik semasa kebakaran, sebelum membuka pintu anda hendaklah merasai kehangatan daun pintu, tombol dan bingkai pintu dengan menggunakan belakang tangan.
“Sekiranya daun pintu atau tombol tersebut terasa panas, jangan buka pintu, hubungi bomba secepat mungkin dan carilah jalan alternatif.
“Kemudian apabila haba dan asap mula memasuki bilik, tutup pintu rapat-rapat dan tutup semua ruang atau lubang dibawah pintu dengan menggunakan tuala, cadar, selimut dan apa sahaja terdapat didalam bilik tersebut.
Apa perlu dibuat jika terperangkap dalam bilik di rumah high-rise?
“Sekiranya anda berada di paras melebihi tingkat satu, anda tidak boleh menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap kecuali turun menggunakan tangga, melalui beranda, pokok, garaj kereta ataupun tunggu sehingga ketibaan anggota bomba untuk menyelamatkan anda.
“Sekiranya tingkap boleh dibuka, buka sedikit di bahagian atas dan bahagian bawah tingkap. Dengan berbuat demikian udara bersih dapat akan masuk melalui bawah dan asap akan keluar melalui bahagian atas yang telah dibuka.
“Maklumkan kedudukan anda untuk membolehkan tugas menyelamat dilakukan dengan segera. Beri isyarat dengan berdiri berhampiran tingkap dan suluh dengan lampu picit, atau kibarkan kain bewarna putih/terang agar pasukan penyelamat dapat mengesan kedudukan anda.
“Sekiranya daun pintu tersebut tidak panas, anda hendaklah melutut dan melekapkan bahu ke daun pintu terlebih dahulu sebelum membuka pintu secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Tindakan ini perlu diambil bagi mengelakkan serbuan lidah api dan asap yang biasanya memenuhi bahagian bahagian atas ruang.
“Semasa kebakaran, udara panas dan asap akan memenuhi ruang atas bilik manakala ada sesetengah gas beracun akan turun ke lantai. Udara yang bersih akan berada di ZON SELAMAT untuk bernafas iaitu di bahagian satu hingga dua kaki (30cm hingga 60cm) dari paras lantai.
“Semasa berusaha menyelamatkan diri, jika laluan utama sudah dipenuhi asap, cuba cari laluan lain. Sekiranya tiada pilihan, ikut laluan utama dengan cara merangkak dan pastikan kepala berada di paras ZON SELAMAT.